
MYDIN Lanjutkan Waktu Operasi, Beri Kemudahan Pelanggan Belanja Bantuan SARA
Rangkaian pemborong dan peruncit halal terbesar tempatan, Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), mengumumkan lanjutan waktu operasi di 50 cawangan terpilih pada 5, 6 dan 7 September 2025 (Jumaat hingga Ahad).
Menurut Pengarah Urusannya, YBhg. Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin, semua cawangan terlibat akan beroperasi lebih panjang, iaitu bermula jam 7.00 pagi hingga 1.00 pagi.

Beliau menjelaskan, langkah ini diambil bagi memberi kemudahan kepada pelanggan untuk berbelanja dengan lebih selesa.
“Langkah ini diambil kerana MYDIN memahami keperluan pelanggan untuk mempunyai lebih masa berbelanja, khususnya bagi memanfaatkan Bantuan SARA RM100 serta bantuan lain yang telah dikreditkan oleh Kerajaan.
“Lanjutan tempoh operasi ini dijangka membolehkan pelanggan berbelanja dengan lebih selesa, teratur serta mengurangkan kesesakan,” kata beliau.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa MYDIN sentiasa komited menyokong usaha Kerajaan meringankan kos sara hidup rakyat dengan memastikan bekalan barangan asas mencukupi.
Gangguan sistem MyKasih cetus keresahan pelanggan
Sejak 31 Ogos lalu, apabila Penghargaan SARA mula dikreditkan kepada penerima, media sosial ‘kecoh’ dengan situasi di pasar raya apabila banyak troli penuh barangan terpaksa ditinggalkan pelanggan selepas sistem MyKasih mengalami gangguan.
Menurut kenyataan MyKasih Foundation, gangguan berlaku disebabkan lonjakan jumlah transaksi yang sangat tinggi. Hal ini menyebabkan sistem terminal MyKasih mengalami kelewatan dalam pemprosesan transaksi.
Dalam masa sama, MyKasih menegaskan bahawa pembelian barangan keperluan menggunakan bantuan SARA masih boleh dilakukan.
Namun, sebahagian premis runcit mungkin berdepan masalah untuk memproses pembayaran akibat permintaan sistem yang terlalu tinggi pada satu-satu masa.
Sementara itu, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan walaupun sistem telah beroperasi dengan lebih perlahan, transaksi masih diterima dan diproses.
Kementerian itu juga mengingatkan bahawa kredit RM100 one-off Penghargaan SARA masih sah digunakan sehingga 31 Disember 2025 di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.
Pelanjutan waktu operasi MYDIN diharapkan bantu pelanggan
Dengan langkah melanjutkan waktu operasi ini, diharapkan pelanggan dapat berbelanja dengan lebih tenang dan tersusun.
Ini sekali gus mengurangkan masalah kesesakan serta memberi ruang lebih luas untuk menggunakan bantuan SARA yang disediakan Kerajaan.
Sumber: MYDIN
The post MYDIN Lanjutkan Waktu Operasi, Beri Kemudahan Pelanggan Belanja Bantuan SARA appeared first on Siakap Keli.
