MyEG meterai kerjasama penggunaan motosikal elektrik, stesen pertukaran bateri

15 Jun 2023 • 9:42 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MyEG meterai kerjasama penggunaan motosikal elektrik, stesen pertukaran bateri

diyana

15/06/2023 - 09:42

KUALA LUMPUR 15 Jun - MyEG Services Berhad telah memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan Oyika Green Technologies Sdn Bhd (OGT) untuk bekerjasama dalam penggunaan motosikal elektrik dan penempatan stesen tukar bateri di lokasi yang ditetapkan bagi tempoh percubaan.

OGT yang merupakan syarikat pembuatan dan pemasangan motosikal elektrik adalah unit milik penuh Yinson Mobility Sdn Bhd, iaitu anak syarikat tidak langsung Yinson Holdings Berhad.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, MyEG berkata di bawah MoU dua tahun itu, OGT akan membekalkan motosikal elektrik kepada MyEG sebagai percubaan percuma sehingga 30 hari.

image is not available

MyEG pula akan menyediakan lokasi ditetapkan seperti yang dipersetujui antara kedua-dua pihak dalam tempoh percubaan, untuk OGT menggunakan stesen pertukaran bateri.

Dalam makluman berasingan, MyEG berkata kumpulan itu dan rakan strategiknya Universiti Malaya sedang mengembangkan kerjasama penyelidikan mereka dengan Akademi Teknologi Maklumat dan Komunikasi China untuk memasukkan pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) ke dalam kerjasama penyelidikan sedia ada antara Malaysia dan China.

Perkembangan kerjasama itu adalah susulan projek pembangunan infrastruktur blockchain rentas sempadan yang diumumkan oleh MyEG pada Februari lalu.

Penyelidikan itu mencadangkan sistem yang boleh menghalang penipuan dalam proses rantaian bekalan dengan menggunakan teknologi blockchain dalam perdagangan rentas sempadan.

“Dengan pengembangan itu, inisiatif penyelidikan itu akan meluaskan skopnya bagi memberi tumpuan kepada memanfaatkan AI agar memperkemas dan mengoptimumkan lagi proses perdagangan rentas sempadan, dengan matlamat utama untuk mengurangkan ketidakcekapan dan meningkatkan keseluruhan kemudahan dan kelajuan transaksi rentas sempadan,” kata MyEG.

Pada waktu penulisan, saham MyEG telah naik 1.5 sen atau 1.7% kepada 87.5 sen, menilai modal pasarannya pada RM6.5 bilion. -DagangNews.com

View Original Article