MyEG perlu tambah baik sistem sebelum sambung semula perkhidmatan imigresen
diyana
18/10/2023 - 09:21
KUALA LUMPUR 18 Okt - MyEG Services Bhd telah menerima lanjutan dua tahun kontrak perkhidmatan berkaitan imigresennya, namun perlu melengkapkan penambahbaikan sistem sebelum dibenarkan menerima semula permohonan bagi perkhidmatan itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat perkhidmatan digital itu berkata ia menerima surat penerimaan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Selain itu, perjanjian untuk merasmikan lanjutan berkenaan akan ditandatangani kemudian.
“MyEG akan meneruskan penerimaan permohonan untuk perkhidmatan berkaitan Imigresen setelah selesai penambahbaikan sistem ini yang tarikh permulaannya akan diumumkan oleh syarikat dalam masa terdekat,” katanya.
Menurut kumpulan itu, anggaran jumlah nilai lanjutan akan bergantung kepada bilangan transaksi yang dilakukan dalam tempoh dua tahun.
"Lembaga berpandangan bahawa lanjutan itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023," katanya.
Konsesi tiga tahun kumpulan itu untuk perkhidmatan berkaitan imigresen dijadualkan berakhir pada 22 Mei, berikutan lanjutan dari Mei 2020.
Pada Julai, MyEG berkata ia telah menerima surat pemberitahuan bertarikh 4 Julai daripada KDN untuk mengesahkan bahawa Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk melanjutkan konsesi.
Bulan lalu, kumpulan itu berkata ia masih memuktamadkan syarat konsesi perkhidmatan berkaitan imigresen dengan Putrajaya, selepas mengumumkan bahawa ia telah berhenti menerima permohonan daripada pelanggan di portalnya.
Pada pukul 9:17 pagi, saham MyEG menokok 0.5 sen atau 0.6% kepada 83 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM6.27 bilion. - DagangNews.com




