MyHSR Corp pelawa firma tempatan, antarabangsa kemukakan cadangan konsep projek kereta api laju KL-Singapura

Business & Finance
11 Jul 2023 • 3:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MyHSR Corp pelawa firma tempatan, antarabangsa kemukakan cadangan konsep projek kereta api laju KL-Singapura

zulfadli

11/07/2023 - 15:42

KUALA LUMPUR 11 Julai - MyHSR Corporation Sdn Bhd melancarkan proses Permintaan Maklumat (RFI) bagi membolehkan sektor swasta mengemukakan secara rasmi cadangan konsep untuk membina dan mengendalikan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura melalui model perkongsian awam-swasta.

MyHSR Corp berkata, sebelum ini pihaknya melaksanakan sesi libat urus bersama beberapa syarikat swasta terpilih semasa peringkat awal pengumpulan maklumat untuk memahami tahap minat, keupayaan, dan keperluan sumber yang diperlukan untuk memastikan kemampanan projek itu.

Katanya, bagi membantu Kerajaan Malaysia membuat keputusan tepat, proses RFI ini terbuka kepada firma dan konsortium tempatan dan antarabangsa untuk mengemukakan cadangan konsep masing-masing.

"Pelaksanaan RFI ini membolehkan kerajaan menilai minat dan keupayaan industri untuk membiayai projek ini sepenuhnya.

"Di samping itu, proses RFI ini akan menilai keupayaan firma dan konsortium tersebut dalam membangunkan projek infrastruktur utama ini berdasarkan spesifikasi teknikal, kos projek, model komersial dan perniagaan, dan rangka kerja konsortium serta tadbir urus," katanya dalam kenyataan media di sini.

Pengerusi MyHSR Corp, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman berkata, pihaknya bersyukur dengan sokongan padu yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia ke atas projek HSR.

"Projek HSR KL-SG akan membawa manfaat yang besar kepada rakyat, terutamanya dalam meningkatkan dan mengembangkan ekonomi dari Lembah Klang ke Koridor Selatan di semenanjung, dan akhirnya ke seluruh Malaysia.

"Selain menyediakan mod perjalanan baharu yang lebih selamat, pantas, cekap dan mampan, projek ini akan membantu kami untuk menyumbang kepada agenda Malaysia MADANI, menjana pertumbuhan jangka masa panjang dan mampan untuk kesejahteraan rakyat dan negara," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal menggalakkan firma dan konsortium dengan pengalaman yang relevan untuk menyertai proses RFI dan berharap ia dapat menarik minat dan cadangan berkualiti yang akan menjadi rujukan penting dalam keputusan kerajaan bagi melaksanakan projek ini.

Katanya, pelaksanaan proses RFI menandakan inisiatif kerajaan dalam usaha melaksanakan semula projek HSR menerusi mekanisma pembiayaan dan model pelaksanaan yang baharu dalam usaha untuk mempertingkat infrastruktur pengangkutan rel dan merancakkan ekonomi negara.

"MyHSR Corp kekal komited dalam menyokong kerajaan untuk mengenalpasti kaedah yang terbaik bagi membangunkan projek HSR.

"Di peringkat global, pembangunan HSR terbukti sebagai enjin pertumbuhan yang membawa kepada pemangkin pembangunan dan pertumbuhan serta kesan pengganda yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat," katanya.

Maklumat lanjut mengenai RFI boleh didapati dengan melayari laman web MyHSR Corp di https://www.myhsr.com.my/rfi pada 12 Julai 2023. - DagangNews.com

View Original Article