MYJalan: Jom Salur Aduan, Jadikan Jalan Raya Selamat Di Aidilfitri

LocalTravel
10 Mar 2026 • 12:12 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Aidilfitri sudah semakin dekat dan semua perantau semakin seronok; berkira-kira hendak pulang ke kampung. Seperti biasa, jutaan perantau akan memandu untuk balik ke kampung halaman.

Bila sebut balik kampung, kita selalu fokus dua benda iaitu baju raya dan keadaan kereta. Baju mesti sedondon, kuih mesti cukup, adakalanya berbalang-balang dan kereta pula wajib ‘tip-top’. 

 Tayar diperiksa, brek diuji, minyak enjin ditukar, bateri dipastikan tak buat hal di tengah lebuh raya. Pendek kata, kita buat segala persediaan supaya perjalanan selesa dan selamat.

Namun, satu perkara kadang-kadang terlepas pandang iaitu keadaan jalan raya yang akan kita lalui. Dah sediakah jalan raya kita untuk menyambut kepulangan jutaan perantau?

Kita sering diingatkan supaya memandu berhemah. Benar, disiplin pemandu faktor utama keselamatan. Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) juga menunjukkan 80.6 peratus kemalangan jalan raya berpunca kecuaian manusia.

Namun tidak bermakna faktor lain boleh dipandang ringan. Data sama menunjukkan 13.2 peratus kemalangan disebabkan keadaan jalan, manakala 6.2 peratus berpunca daripada faktor kenderaan.

Sekali pandang, 13.2 peratus nampak kecil. Namun cuba bayangkan jumlah sebenar kemalangan dalam setahun, 13.2 peratus itu bukan angka yang boleh kita anggap remeh.

Lubang di selekoh gelap, permukaan jalan mendap selepas hujan lebat, garisan jalan yang sudah pudar, lampu jalan tidak berfungsi. Dalam keadaan trafik biasa mungkin kita masih sempat mengelak. 

Namun ketika musim perayaan, dengan aliran trafik berganda dan pemandu keletihan selepas berjam-jam di jalan raya, risiko itu bertambah.

Setuju atau tidak, musim perayaan ibarat ‘ujian tekanan’ kepada infrastruktur negara. Jalan yang biasanya lengang tiba-tiba sesak. Laluan kampung yang jarang digunakan bertukar menjadi laluan utama. Bahu jalan yang selama ini sunyi mula dipenuhi kenderaan berhenti rehat.

Kalau dalam keadaan biasa pun ada jalan berlubang terlepas pandang, apalagi pada musim perayaan. Pada waktu ini, ia paling tidak sesuai untuk kita ambil ringan.

Inisiatif MYJalan digerakkan Kementerian Kerja Raya (KKR) sebenarnya hadir dalam konteks ini. Ia bukan sekadar aplikasi aduan, tetapi satu jambatan menghubungkan pengguna jalan raya dengan pihak berkuasa.

Sejak dilancarkan pada Ogos 2023 hingga Januari lalu, sebanyak 54,055 aduan kerosakan jalan diterima melalui aplikasi MYJalan yang menjadi cetusan idea Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sendiri. 

Daripada jumlah itu, 16,671 aduan atau 30.8 peratus membabitkan Jalan Persekutuan, lebuh raya dan jalan negeri di bawah seliaan KKR. Selebihnya membabitkan jalan di bawah kementerian lain, agensi lain atau kerajaan negeri. Di bawah KKR sendiri, sejumlah 15,160 aduan sudah diselesaikan, manakala 1,511 masih dalam siasatan. 

Angka ini membawa dua mesej penting. Pertama, rakyat semakin berani dan semakin cakna untuk melaporkan. Budaya ‘ambil gambar dan viralkan’ kini perlahan-lahan beralih kepada ‘ambil gambar dan salurkan melalui saluran rasmi’. Itu perkembangan yang sihat.

 Kedua, tidak semua jalan rosak berada bawah bidang kuasa KKR. Struktur tadbir urus jalan raya negara membabitkan pelbagai pihak, sama ada Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT). 

Sebab itu ada kalanya aduan nampak lambat ditangani. Bukan kerana tiada siapa peduli, tetapi kerana ia melibatkan bidang kuasa berbeza.

Di sinilah MYJalan mengisi ruang lompong yang ada, melalui konsep ‘no wrong door policy’. Pengguna tak perlu pening memikirkan jalan itu milik siapa. Laporkan sahaja. Jika bukan di bawah seliaan KKR, aduan akan disalurkan kepada agensi bertanggungjawab.

Dalam dunia sebenar, orang awam tidak peduli garis sempadan pentadbiran. Yang mereka tahu, jalan itu rosak dan berisiko. 

Konsep MYJalan memudahkan rakyat, pada masa sama membantu agensi menerima maklumat secara lebih tersusun dan sistematik.

 Dengan Aidilfitri semakin hampir, tempoh berbaki ini sebenarnya masa terbaik untuk kita memainkan peranan sebagai pengguna bertanggungjawab.

Kalau ada terlihat jalan berlubang di laluan utama balik kampung, lampu isyarat rosak, papan tanda tumbang atau garisan jalan yang sudah hilang, jangan sekadar mengeluh dalam kereta. Salurkan maklumat melalui MYJalan. Mudah-mudahan masih ada masa untuk tindakan diambil sebelum trafik memuncak.

Kita mungkin tidak mampu menurunkan kadar 80.6 peratus kecuaian manusia dalam masa singkat. Tetapi usaha kita sebagai pengguna boleh membantu mengurangkan risiko 13.2 peratus yang berpunca daripada keadaan jalan.

Keselamatan jalan raya bukan semata-mata tugas kerajaan. Ia tanggungjawab kolektif. Kerajaan menyediakan infrastruktur dan saluran aduan. Agensi melaksanakan penyelenggaraan. Pengguna pula menjadi mata dan telinga di lapangan.

MYJalan menjadikan hubungan ini lebih langsung, lebih cepat dan lebih telus. Apabila rakyat aktif melapor dan pihak berkuasa responsif bertindak, ekosistem keselamatan jalan raya menjadi lebih kukuh.

Balik kampung sepatutnya menjadi perjalanan penuh keterujaan, dengan anak-anak tak sabar bertemu datuk nenek, ibu bapa merancang menu raya, perantau menghitung hari untuk berehat.

Perjalanan itu tidak seharusnya dibayangi rasa cemas kerana bimbang tayar terhentak lubang atau risau selekoh gelap tanpa lampu.

Kita mungkin tidak mampu menjadikan setiap jalan sempurna dalam sekelip mata. Tetapi dengan sedikit kesedaran, bantuan teknologi dan kerjasama semua pihak, kita boleh menjadikannya lebih selamat sedikit demi sedikit.

Raya kali ini, selain servis kereta dan beli baju baharu, mungkin kita boleh tambah satu lagi persediaan kecil tetapi bermakna. Pastikan laluan yang kita dan orang lain gunakan berada dalam keadaan terbaik dengan menyalurkan maklumat melalui MYJalan.

Kerana akhirnya, yang kita mahu bukan sekadar sampai ke kampung. Kita mahu sampai dengan selamat dan pulang semula dengan ‘cerita’ Aidilfitri yang memahat seribu kenangan manis. - Getaran, 10 Mac 2026

View Original Article