MyKad ganti QR beli minyak paket

LocalPolitics
5 Mar 2026 • 6:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Fuziah menyampaikan bakul rezeki kepada penerima sumbangan
image is not available
Fuziah (kiri) bersama Mas Imran (tengah) mengacau bunur lambuk yang bakal diedarkan kepada pengunjung yang hadir ke Econsave Balakong.

KAJANG – Kerajaan menyasarkan penggunaan MyKad bagi pembelian minyak masak paket bersubsidi dapat dilaksanakan pada hujung tahun ini melalui integrasi terminal MyKasih.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, ketika ini kerajaan masih menggunakan sistem imbasan kod QR sebagai langkah sementara bagi memastikan warganegara tempatan yang layak dapat membeli minyak masak paket bersubsidi.

Menurutnya, sistem baharu itu akan membolehkan pengguna hanya menggunakan kad pengenalan untuk membuat pembelian melalui terminal MyKasih yang bakal ditempatkan di kedai runcit kecil dan sederhana.

“Pada ketika ini kita menggunakan kod QR untuk rakyat Malaysia membeli minyak masak paket. Mereka perlu mengimbas kod tersebut bersama rakan strategi kementerian.

**media[3454035]**

“Langkah ini diambil selepas kerajaan mewartakan bahawa warga asing tidak dibenarkan membeli minyak masak paket bersubsidi,” katanya selepas Program Edaran Bubur Lambuk dan Insentif CSR Econsave di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata warga asing dilarang membeli minyak masak bersubsidi mulai 1 Mac dengan larangan itu dikuatkuasakan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, dengan punca kuasa Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam pada itu, Fuziah menjelaskan penggunaan kod QR merupakan langkah sementara sebelum sistem integrasi kad pengenalan dengan terminal MyKasih dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Menurutnya, kira-kira 10,000 terminal MyKasih dijangka diedarkan kepada peruncit kecil dan sederhana di seluruh negara, tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan.

“Kementerian kini sedang mengintegrasikan sistem berkenaan dengan pangkalan data yang dikumpul melalui aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS),” jelasnya.

Sejak sistem pemantauan diperkenalkan, beliau berkata kementerian merekodkan sekitar 951 kes ketirisan minyak masak paket bermula Januari 2024 hingga Februari 2026 dengan nilai rampasan berjumlah RM4.5 juta.

Sementara itu, Pasar Raya Econsave Cash & Carry Sdn Bhd (Econsave) meneruskan tradisi tahunan dengan mengedarkan sebanyak 200,000 pek bubur lambuk menerusi 109 cawangan pasar raya berkenaan di seluruh negara.

Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam memaklumkan pihaknya turut memperuntukkan dana sejumlah RM100,000 dalam bentuk baucar tunai dan bakul rezeki untuk diagihkan kepada golongan asnaf.

Perubahan yang dibuat: