mySalam cabar universiti seluruh Malaysia, siapa paling bijak wang ?

LocalPersonal Finance
27 Sep 2026 • 6:09 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: mySalam cabar universiti seluruh Malaysia, siapa paling bijak wang ?

SINTOK – Bijak Wang Challenge 2026 membuka ruang kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara untuk menguji pengetahuan, kemahiran dan kebijaksanaan mengurus kewangan menerusi pertandingan literasi kewangan secara interaktif.

Pertandingan anjuran mySalam diuruskan oleh Great Eastern Takaful Berhad dengan sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu merupakan yang pertama seumpamanya di peringkat kebangsaan yang menghimpunkan mahasiswa IPT seluruh Malaysia untuk bersaing, menguji ilmu kewangan dan membawa nama universiti ke pentas nasional.

Bijak Wang Challenge turut menjadi platform pembelajaran yang menggabungkan elemen pengetahuan, kemahiran dan pemikiran strategik dalam aspek kewangan yang dilihat penting sebagai persediaan mahasiswa sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Timbalan Ketua Kumpulan B40, Great Eastern Takaful Berhad Wan Rosmi Mat Isa berkata, selain menambah ilmu pengetahuan, penyertaan dalam pertandingan itu turut memberi peluang kepada mahasiswa mencabar diri, membina keyakinan serta membawa nama universiti dan zon masing-masing ke pentas kebangsaan.

Lebih menarik katanya, Bijak Wang Challenge 2026 menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM30,000, termasuk hadiah istimewa RM5,000 bagi universiti dengan penyertaan tertinggi dan RM5,000 kepada universiti yang mempunyai pelajar memenangi pertandingan.

“Pertandingan itu turut memberi pengiktirafan kebangsaan kepada peserta dan universiti, selain membuka ruang kepada mahasiswa membina pengalaman dalam bidang literasi kewangan serta berinteraksi dengan peserta dari seluruh negara,” katanya selepas Pertandingan National Bijak Wang Challange 2026 di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini hari ini.

Menurutnya, perjalanan pertandingan itu bermula di peringkat zon di mana pelajar IPT bertanding merebut tiga tempat terbaik untuk mewakili zon masing-masing ke peringkat separuh akhir.

Katanya, tiga peserta terbaik dari setiap zon kemudian akan berentap di peringkat separuh akhir sebelum wakil terbaik mara ke pentas Grand Finale yang dijadualkan berlangsung pada 24 Oktober di Central i-City Mall Shah Alam sempena Karnival Celik Kewangan.

“Pada peringkat kemuncak, lima juara zon akan berentap bagi merebut gelaran Juara Kebangsaan sekali gus dinobatkan sebagai Duta Bijak Wang Challenge 2026 dengan pelbagai hadiah menarik turut disediakan sepanjang pertandingan,” katanya.

Pendaftaran pertandingan dibuka sejak 5 Ogos lalu, manakala pertandingan peringkat zon dan separuh akhir dijadualkan berlangsung dari 21 September hingga 19 Oktober 2026 sebelum Grand Finale pada 24 Oktober.

Penganjur turut membawa pengalaman program literasi kewangan terdahulu termasuk Bijak Wang Challenge 2025 dan Bijak Wang Varsity Challenge Terengganu Edition 2026, selain beberapa inisiatif lain yang dipaparkan sebagai sebahagian daripada perjalanan literasi kewangan mySalam.

Sasaran utama Bijak Wang Challenge 2026 adalah memastikan lebih ramai mahasiswa mempunyai ilmu kewangan yang mampu membantu mereka membuat perancangan serta keputusan kewangan yang lebih bijak.

Sementara itu, Wan Rosmi memberitahu sehingga 20 September lalu, lebih dua juta penerima telah meraih manfaat mySalam dengan jumlah bayaran tuntutan melebihi RM1.55 bilion.

Dalam pada itu, Penolong Naib Canselor UUM
College of Business (UUM COB), Prof. Dr. Siti Selamah Maamor berkata, program Bijak Wang Challenge 2026 amat bertepatan dalam menyampaikan maklumat kepada mahasiswa berhubung kesedaran kepentingan MySalam.

“UUM terpilih sebagai universiti pertama yang menjadi hos di bahagian zon Utara dan sebenarnya pengetahuan tentang MySalam ini sangat penting bagi pelajar dan masyarakat di luar sana,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post mySalam cabar universiti seluruh Malaysia, siapa paling bijak wang ? appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved