MYStartup bekerjasama dengan empat syarikat perkukuh ekosistem pemula di Malaysia
diyana
20/06/2023 - 16:15
KUALA LUMPUR 20 Jun - MYStartup, satu inisiatif oleh Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) menjalin kerjasama strategik dengan Maxis, Petronas, Cyberview dan airasia academy untuk memperkukuhkan ekosistem pemula dan memastikan pertumbuhan holistiknya.
Dalam satu kenyataan hari ini, MYStartup berkata empat syarikat tersebut telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengannya sejak awal 2022 ketika MYStartup mengesahkan komitmennya untuk menyediakan platform kepada usahawan dan syarikat baharu untuk berkembang.
Naib Presiden Kanan Pembangunan Ekosistem Cradle, Ahmad Kashfi Alwi berkata kerjasama dengan keempat-empat syarikat itu menandakan komitmen kolektif untuk memupuk pertumbuhan dan kejayaan syarikat pemula di Malaysia.
"Dengan memanfaatkan kepakaran, sumber dan rangkaian setiap rakan kongsi, kami boleh mewujudkan persekitaran yang membolehkan pemula berkembang maju, berinovasi dan memberi impak berkekalan," ujar beliau.

Menurut MYStartup, kerjasama dengan Maxis memberi peluang kepada syarikat pemula untuk terlibat dalam program anjuran Maxis bagi memupuk potensi perkongsian komersial dan pembangunan projek, termasuk peluang menjalin hubungan dengan Maxis untuk perniagaan masa depan dan peluang pembiayaan.
Tambahnya, pemula dalam bidang baharu muncul seperti Kecerdasan Buatan (AI), Pembelajaran Mesin, Bandar Pintar dan Teknologi Pendidikan juga berpeluang mendapat manfaat daripada peningkatan penjenamaan merentas platform korporat.
Sementara itu, Petronas akan memberi pemula akses kepada platform Go-To-Market mereka melalui Program Pemecut Teknologi Masa Depan, membolehkan mereka mencapai peluang pembiayaan dan pelaburan lebih baik, serta sebarang teknologi yang diperoleh.
MoU dengan Petronas juga meningkatkan potensi syarikat pemula untuk bekerjasama dengan rakan kongsi korporat di bawah program FutureTech 3.0, seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), DRB-HICOM Bhd, Gentari, Khazanah Nasional Bhd, Sembcorp Industries Ltd, Hyundai Motor Co dan Vitol, di samping mendapat manfaat daripada potensi pelaburan daripada firma modal usaha niaga tempatan dan serantau.
Cyberview pula menawarkan pelbagai faedah kepada pemula, termasuk kadar sewa istimewa dalam premis Cyberjaya dan akses kepada pelbagai peluang untuk pertumbuhan dan pengembangan perniagaan.
Syarikat pemula juga dapat berhubung dengan pelabur daripada Malaysian Business Angel Network (MBAN), membuka pintu untuk peluang pembiayaan yang berpotensi.
Manakala perkongsian dengan airasia academy memperkasakan pemula dengan asas pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk berkembang maju dalam landskap yang kian berdaya saing.
Kursus latihan dengan pengajar juga menawarkan modul pensijilan yang meliputi bidang penting seperti pemasaran digital, keselamatan siber dan kejuruteraan perisian. -DagangNews.com



