MYStartup umum syarikat pemula berpotensi pada "Demo Day" Pre-Accelerator Kohort 3

Startup
5 Jun 2024 • 3:47 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MYStartup umum syarikat pemula berpotensi pada "Demo Day" Pre-Accelerator Kohort 3

azan

05/06/2024 - 15:47

KUALA LUMPUR 5 Jun - MYStartup Pre-Accelerator Kohort 3, dengan kerjasama Growth Charger, memacu inovasi di “Demo Day” selepas menjalankan sesi bimbingan dan pementoran yang intensif selama lebih daripada 16 minggu.

Ketika “Demo Day” itu berlangsung, syarikat pemula berpotensi tinggi diumumkan dan diiktiraf selepas berjaya melaksanakan pelan pembuktian konsep serta mengesahkan idea serta model perniagaan mereka.

Sejumlah 26 syarikat pemula merangkumi pelbagai industri termasuk teknologi hijau, kehidupan pintar, hospitaliti dan digitalisasi telah dipilih untuk menyertai kohort ketiga program yang diterajui oleh Cradle dan MYStartup ini.

Ketika “Demo Day” berlangsung, 12 finalis membentangkan idea perniagaan kepada penonton yang terdiri daripada usahawan, mentor, pelabur dan komuniti syarikat pemula tempatan di hadapan 10 panel juri yang terdiri daripada pemimpin industri, termasuk wakil daripada Cradle, Maybank, Cyberview, Dana Impak, Tuas Capital Partners dan The Hive Southeast Asia, Jewel Digital Ventures, MBI Selangor, Orbit Malaysia, Origgin Ventures dan SBI Ventures Malaysia.

Lima syarikat pemula terbaik ialah:

  • ScancerAI: Menggunakan AI canggih untuk pengesanan awal kanser paru-paru melalui analisis Sinar X dada, bertujuan merevolusikan diagnostik. Dibangunkan dengan kepakaran dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

  • Practistica: Memudahkan penciptaan tugasan, penilaian, dan analisis untuk guru. Menampilkan pangkalan data besar soalan berkualiti tinggi di mana guru boleh seret dan lepas untuk mencipta tugasan, menilai soalan objektif dan subjektif, dan analitik untuk memfokuskan kelemahan setiap pelajar.

  • StayWokeProperty: Sebuah pasaran untuk penyewaan hartanah jangka panjang. Menawarkan cadangan nilai unik yang membantu pemilik hartanah untuk mempercepat penyewaan sambil mengurangkan kesulitan pengumpulan bayaran sewa dan penyelenggaraan hartanah.

  • FinDoc: Platform saringan kredit dan nasihat dalam talian yang didorong oleh AI. Bagi peminjam, FinDoc mencadangkan produk kewangan terbaik dan nasihat peribadi untuk memperbaiki kesihatan kredit dan memenuhi keperluan pembiayaan. Bagi ejen dan bank, FinDoc bertindak sebagai penjana prospek.

  • Beseek: Alat analisis kandungan tanpa arahan. Beberapa ciri utama termasuk melakukan analisis kualitatif seperti sorotan utama dan analisis jurang antara data peribadi dan pengetahuan awam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Fund Sdn Bhd, Norman Matthieu Vanhaecke menyatakan peranan penting syarikat pemula serta komitmen agensi kerajaan dalam membangunkan sebuah ekosistem yang berprestasi tinggi, inklusif, dan mampan di negara ini.

“Pelancaran kohort pertama pada tahun 2022 adalah bertujuan untuk memacu pertumbuhan startup peringkat awal melalui sesi bimbingan yang tersusun, yang dapat membantu mengembangkan potensi pertumbuhan mereka.

"Lebih daripada 100 syarikat pemula mendapat manfaat daripada program ini, dengan majoriti startup mengembangkan perniagaan mereka ke dalam pasaran dan menggunakan solusi berasaskan teknologi seperti kecerdasan buatan canggih untuk merevolusikan diagnostic, blok rantai, dan platform laman interaktif atas talian.

"Untuk kohort kali ini, kami dengan berbesar hati menyokong kesemua 26 syarikat pemula, di mana masing-masing menggunakan teknologi unik, data, dan kecerdasan untuk membangunkan pembuktian konsep yang memenuhi keperluan pasaran serta merapatkan jurang di dalam industri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rakan Pengurusan, Tuas Capital Partners dan The Hive Southeast Asia, Datuk Syed Haizam Jamalullail berkata, pembentangan inovatif dan disruptif di Demo Day MYStartup Pre-Accelerator memberi keyakinan besar terhadap bakat dan inovasi yang terhasil daripada program seperti ini.

"Kesemua 12 pengasas syarikat pemula menunjukkan kualiti luar biasa, menggabungkan kreativiti, visi strategik, dan semangat keusahawanan. Walaupun berada di peringkat awal, startup ini jelas didorong oleh pertumbuhan dan bersedia untuk melancarkan usaha niaga mereka.

"Kami di The Hive Southeast Asia menantikan impak positif yang akan mereka bawa dan berharap untuk menyokong usahawan-usahawan berbakat ini mencapai kejayaan di masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Pengasas ScancerAI dan antara lima syarikat pemula terbaik, Suddin Salleh berkata, program itu adalah sebagai batu loncatan dalam merealisasikan idea-idea inovatif, persiapan perniagaan untuk memasuki pasaran, dan membuka peluang untuk kerjasama pada masa hadapan.

“Membina sebuah syarikat pemula adalah sebuah perjalanan yang mencabar tetapi amat berbaloi. Selain menerima maklum balas dan bersedia untuk mengubah pendekatan, sokongan daripada mentor, rakan startup, dan penasihat juga penting.

"Bimbingan yang menyeluruh, peluang rangkaian, dan akses kepada pakar industri yang ditawarkan sepanjang program ini sangat mustahak untuk melonjakkan ScancerAI ke tahap seterusnya.

"Kami memperoleh bukan sahaja pencerahan yang bernilai dalam pelbagai aspek pembangunan startup daripada bengkel dan sesi bimbingan, tetapi juga maklum balas jujur daripada mentor semasa sesi pitch clinic yang telah membantu memperhalusi model perniagaan dan strategi kami," katanya.

Selain membawa pulang RM7,500 serta mendapat pengiktirafan industri, lima syarikat pemula terbaik akan menyertai MYStartup Market Access Programme.

Program eksklusif ini memberi peluang untuk mereka mengembangkan rangkaian industri serta berinteraksi dengan pemain ekosistem utama dan rakan kongsi di seluruh dunia.

Selain itu, Growth Charger juga akan terus menyokong startup ini dengan membantu menjalinkan hubungan strategik dalam ekosistem serta meningkatkan akses kepada pelabur antarabangsa.

Tambahan lagi, syarikat pemula yang terpilih daripada kohort ini dan juga kohort-kohort sebelumnya mendapat bimbingan individu daripada usahawan-usahawan yang berpengalaman selama empat bulan.

Sejak sesi onboarding yang diadakan pada bulan Mac lalu, peserta program ini telah menikmati pelbagai manfaat, termasuk acara sesi jaringan eksklusif dengan mentor dan rakan kongsi global, jemputan ke hab inovasi, akses kepada penyelidikan pasaran, serta saluran kepada peluang pembiayaan.

Lebih daripada 10 pakar industri yang telah dilantik sebagai mentor kepada kohort ketiga ini terdiri daripada pelbagai latar belakang serta bidang kepakaran yang berbeza. Mereka juga berkongsi komitmen dan dedikasi yang sama, iaitu untuk membentuk para usahawan startup yang berjaya.

MYStartup Pre-Accelerator yang merupakan sebuah inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan dipacu oleh Cradle, bertujuan untuk mendorong startup peringkat awal dan pra-pembentukan (pre-seed) melalui program yang fleksibel dan komprehensif.

Sejajar dengan objektif Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030, iaitu untuk mewujudkan 5,000 startup menjelang 2025 dan 10,000 pengekod menjelang 2030, kohort ketiga program ini diharap untuk terus membuka peluang kepada bakal usahawan dan membantu mempercepat pertumbuhan perniagaan mereka, dalam pada masa yang sama, menyatukan komuniti dalam ekosistem startup yang berskala, mampan dan inklusif.


Sertai ekosistem startup dan menjadi sebahagian daripada inovasi hari ini! Layari www.mystartup.gov.my. - DagangNews.com

View Original Article