Myvi terbabas, pemandu maut tercampak dalam parit

LocalCars
13 May 2026 • 9:25 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Myvi terbabas, pemandu maut tercampak dalam parit
Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum tercampak ke dalam parit dalam kejadian di Jalan Besar Bagan Serai–Taiping pada Rabu. - Foto: JBPM Perak

BAGAN SERAI – Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum tercampak ke dalam parit dalam kejadian di Jalan Besar Bagan Serai–Taiping di sini awal pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai terbabas ke bahu jalan.

“Mangsa ditemukan di dalam parit dan disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM yang hadir ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, anggota bomba menjalankan operasi penyelamatan dengan mengaplikasikan konsep SAVER menggunakan peralatan ‘scoop stretcher’.

Katanya, mangsa berjaya dibawa keluar dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi yang melibatkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai itu tamat pada jam 3.47 pagi," katanya.