79 inisiatif, peraturan baharu menanti rakyat pada 2020

27 Dec 2019 • 8:25 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

SEJUMLAH 79 inisiatif dan peraturan baharu bakal dikuatkuasakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) serta dinikmati rakyat negara ini sepanjang tahun 2020.

Jumlah itu merangkumi pelbagai inisiatif diumumkan kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2020, selain beberapa inisiatif atau undang-undang baharu berasingan diuar-uar pelbagai kementerian untuk dilaksanakan bagi membantu mensejahterakan rakyat.

Menjelang 1 Januari 2020, tumpuan rakyat pastinya terarah kepada pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) yang mencetuskan pelbagai reaksi dan polemik dalam kalangan rakyat.

Langkah kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memperkenalkan PSP bagi menggantikan sistem subsidi petrol secara pukal.

Sejumlah 2.86 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang memiliki kenderaan 1600cc dan ke bawah dan kereta melebihi 1600cc yang berjangka hayat 10 tahun dan ke atas layak menerima PSP.

image is not available
Program Subsidi Petrol (PSP) bakal memberi manfaat kepada 2.83 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH)

Bagi kategori motosikal yang layak ialah motosikal 150cc dan ke bawah dan motosikal melebihi 150cc yang berusia tujuh tahun dan ke atas.

Kadar subsidi ialah RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 sebulan bagi motosikal membabitkan seramai 2.86 juta penerima.

Harga petrol RON95 dan diesel akan diapungkan dan diselaraskan secara beransur-ansur berdasarkan mekanisme APM secara berperingkat.

Program subsidi petrol ini akan menyalurkan bantuan tunai yang akan dikreditkan terus ke akaun penerima setiap empat bulan sekali, membabitkan tanggungan subsidi sebanyak RM65.4 juta sebulan.

Untuk penduduk Sabah, Sarawak dan Labuan harga petrol RON95 kekal RM2.08, sekali gus tiada keperluan menerima PSP.

Prinsip bantuan hendak disampaikan oleh kerajaan ialah melalui pengagihan semula subsidi yang saksama dan penggubalan dasar berpandukan data yang diperoleh daripada data asas BSH dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagi mereka bukan penerima BSH dan termasuk dalam kategori B40 pula, program KAD95 akan dilaksanakan secara berperingkat pada suku pertama tahun 2020.

Penerima program KAD95 ini akan menikmati subsidi petrol sebanyak 30 sen seliter, terhad kepada 100 liter sebulan (kereta) dan 40 liter sebulan (motor).


View Original Article