Nadia Kesuma Meninggal Dunia Di Jeddah – Suami

LocalHealth & Fitness
18 Jan 2026 • 2:44 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kehilangan pelakon Nadia Kesuma yang gagal dikesan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah terjawab apabila beliau dilaporkan sudah meninggal dunia pada Khamis (15 Januari) lalu.

Khabar duka tersebut dikongsikan suaminya, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah pada awal pagi tadi, 18 Januari.

Dr Muhammad Kamarul menerusi satu hantaran di Facebook berkata, Nadia atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim menghembuskan nafas terakhir di Jeddah, Arab Saudi pada 8:07 pagi, 15 Januari.

“Dengan penuh rasa sedih dan dukacita, saya ingin mengumumkan pemergian isteri tercinta saya, Nadiah Kasumawati yang telah kembali ke rahmatullah dengan tenang di bumi para anbiya, Jeddah.

“Semoga Allah SWT mengurniakan keampunan terhadapnya. Wahai isteriku, aku akan sentiasa merinduimu. Aku bersyukur dapat mengiringimu ke destinasi terakhirmu. Aku mencintaimu. Insya-Allah, kita akan bertemu kembali, mudah-mudahan di syurga.

“Ya Allah, sesungguhnya kami datang daripada-Mu dan kepada-Mu kami kembali.

“Beliau merupakan seorang isteri yang taat, penyayang, ikhlas dan setia. Ya Allah, Engkau telah menjanjikan syurga bagi isteri yang mentaati suaminya, dan mereka boleh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang mereka kehendaki. Sesungguhnya dia telah menunaikan tanggungjawabnya. Maka sempurnakanlah janji-Mu, ya Allah.”

Arwah meninggal dunia akibat sakit jantung

Dalam pada itu seorang pengguna Threads dipercayai anak Nadia memaklumkan pelakon Syaitan Munafik dan Kudeta itu dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Arwah meninggal disebabkan sakit jantung dan kemudiannya telah dibawa ke hospital pada hari yang sama arwah tiba di lapangan terbang Jeddah.

“Mohon doakan arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, diampunkan segala dosanya & dirahmati Allah.”

View on Threads

Jenazah Nadia Kesuma akan disemadikan di Jeddah

Dalam pada itu, Kosmo melaporkan jenazah Allahyarham Nadia akan dikebumikan di Jeddah. Perkara itu dikongsikan rakan kepada Dr Muhammad Kamarul, Jasmin Hajar.

“Kak Nadia sudah meninggal dunia. Suaminya beritahu mengenai perkara itu tadi selepas dia dimaklumkan oleh pihak Wisma Putra.

“Katanya, jenazah Kak Nadia akan dikebumikan di sana (Jeddah). Dia memang selalu menginginkan untuk ke sana,” katanya, lapor Kosmo.  

Tambah Jasmin, suami Nadia Kesuma dan anak perempuannya akan bertolak ke Jeddah pada pagi ini.

Terdahulu media melaporkan Nadia Kesuma yang sedang mengikuti pakej umrah dan ziarah dari sebuah agensi pelancongan gagal dikesan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.

Arwah yang sepatutnya meneruskan penerbangan ke London selepas transit di Jeddah selama dua jam, gagal dikesan dan tidak memunculkan diri ketika jemaah lain berkumpul untuk meneruskan perjalanan.

Perkara itu diketahui selepas dimaklumkan oleh rakan baiknya yang juga pelakon, Anne Abdullah.

Bagasi tangan milik Nadia kemudiannya telah ditemui di lapangan terbang berkenaan namun sosoknya masih lagi belum berjaya dikesan.

Dr Muhammad Kamarul turut merayu kerajaan kerajaan untuk menggerakkan usaha diplomatik dengan kerajaan Arab Saudi bagi mempercepatkan proses pencarian isterinya, lapor Berita Harian.

Wisma Putra kemudian mengesahkan Nadia Kesuma dikesan sudah meninggalkan lapangan Terbang Jeddah.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, maklumat tersebut diperoleh hasil semakan rekod pergerakan keluar masuk imigresen Arab Saudi selepas usaha pengesanan dilakukan melibatkan pelbagai pihak termasuk Konsulat Malaysia dipetik Harian Metro.

Baca Artikel Berkaitan: Pelakon Nadia Kesuma Masih Belum Ditemui Lepas Tiba Di Jeddah, Ini Yang Diketahui Setakat Ini