Nadir bumi: Jangan korbankan alam demi kemajuan

LocalEnvironment
11 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Nadir bumi: Jangan korbankan alam demi kemajuan

MALAYSIA kini berada pada persimpangan penting dalam pembangunan industri mineral kritikal, khususnya unsur nadir bumi (REE) yang semakin mendapat permintaan tinggi di peringkat global.

Perkembangan teknologi hijau seperti kenderaan elektrik, turbin angin, sistem penyimpanan tenaga dan industri semikonduktor menjadikan unsur nadir bumi sebagai bahan strategik yang diperlukan untuk menyokong perubahan ekonomi dunia.

Peningkatan permintaan terhadap bahan tersebut membuka peluang besar kepada Malaysia untuk memainkan peranan dalam rantaian bekalan mineral kritikal antarabangsa. Namun, peluang ini perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar, keselamatan masyarakat dan tadbir urus yang berintegriti.

Antara kaedah yang mendapat perhatian dalam pembangunan unsur nadir bumi negara ialah kaedah Larut Lesap In-Situ (ISL), iaitu pendekatan pengekstrakan mineral yang dibenarkan bagi mendapan tanah liat jerapan ion yang terdapat di beberapa kawasan tertentu di Malaysia.

Berbanding kaedah perlombongan biasa yang memerlukan penggalian tanah secara besar-besaran, kaedah ISL mengekstrak mineral secara terus daripada lapisan bijih di bawah permukaan tanah melalui suntikan larutan peluluh.

Pendekatan ini dapat mengurangkan gangguan fizikal terhadap kawasan operasi kerana tidak memerlukan penerokaan tanah secara meluas atau pembukaan kawasan hutan dalam skala besar.

Walaupun kaedah ini menawarkan kelebihan dari segi pengurangan kesan permukaan tanah dan penggunaan sumber yang lebih cekap, namun pelaksanaannya tetap memerlukan kawalan ketat.

Sebarang kelemahan dalam perancangan atau pengurusan boleh memberi kesan terhadap sumber air bawah tanah, keadaan tanah serta penerimaan masyarakat.

Justeru, prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) perlu menjadi asas utama dalam setiap peringkat pembangunan industri nadir bumi.

ESG bukan sekadar satu piawaian tambahan tetapi menjadi ukuran penting dalam menentukan sama ada sesuatu industri mampu berkembang secara bertanggungjawab dan diterima masyarakat.

PERLINDUNGAN ALAM SEKITAR PERLU MENJADI KEUTAMAAN

Aspek alam sekitar merupakan cabaran paling besar dalam pelaksanaan kaedah ISL. Walaupun pendekatan ini mempunyai potensi mengurangkan kesan perlombongan konvensional, namun risiko alam sekitar tetap perlu diurus dengan teliti.

Antara kebimbangan utama termasuk kemungkinan pencemaran air bawah tanah, pergerakan larutan peluluh ke luar kawasan kawalan, perubahan sifat kimia tanah, pembentukan air lombong berasid serta kegagalan memulihkan kawasan selepas aktiviti pengekstrakan selesai.

Oleh itu, setiap pembangunan ISL perlu bermula dengan kajian saintifik yang menyeluruh.

Penilaian keadaan geologi, kajian pergerakan air bawah tanah dan pemantauan perubahan persekitaran perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan aktiviti pengekstrakan berada dalam lingkungan selamat.

Penggunaan sistem pemantauan moden juga perlu diperluaskan. Kaedah lama yang hanya bergantung kepada pemeriksaan berkala tidak lagi mencukupi dalam menghadapi keperluan industri masa kini.

Sebaliknya, penggunaan penderia pintar yang mampu mengesan perubahan kualiti air secara masa nyata perlu diberi perhatian.

Melalui sistem ini, perubahan tahap keasidan, kandungan ammonia, sulfat dan unsur berkaitan dapat dikesan lebih awal. Data tersebut boleh dihantar terus kepada pusat kawalan bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku keadaan luar biasa.

Dengan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI), sistem kawalan pintar juga berupaya menghentikan suntikan larutan secara automatik, menutup saluran tertentu atau mengaktifkan telaga pemulihan bagi mengelakkan risiko lebih besar.

Pendekatan ini menunjukkan teknologi moden mampu menjadi alat penting dalam memastikan pembangunan mineral bergerak seiring dengan perlindungan alam sekitar.

 

MEMBINA INDUSTRI RENDAH KARBON

Selain menjaga alam sekitar, industri nadir bumi masa hadapan juga perlu memberi perhatian terhadap penggunaan tenaga dan pelepasan karbon.

Dalam kaedah ISL, sistem pengepaman merupakan antara komponen yang menggunakan tenaga elektrik paling tinggi. Oleh itu, penggunaan sumber tenaga boleh baharu perlu dipertimbangkan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.

Sistem tenaga suria, penyimpanan tenaga menggunakan bateri dan rangkaian tenaga setempat boleh menjadi pilihan bagi menyokong keperluan operasi. Tenaga yang dijana daripada cahaya matahari boleh digunakan ketika siang, manakala lebihan tenaga disimpan untuk kegunaan apabila penghasilan tenaga berkurangan.

Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan karbon, malah meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga serta mengukuhkan daya tahan operasi, khususnya di kawasan yang jauh daripada kemudahan tenaga utama.

Pada masa sama, teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon turut berpotensi memainkan peranan dalam mengurangkan kesan pelepasan karbon daripada rantaian industri nadir bumi.

Teknologi ini membolehkan karbon dioksida yang terhasil daripada proses industri ditangkap, diproses dan disimpan supaya tidak dilepaskan terus ke atmosfera. Karbon tersebut juga boleh digunakan semula melalui kaedah tertentu untuk menghasilkan bahan bernilai.

Malaysia mempunyai kelebihan berdasarkan pengalaman panjang dalam sektor minyak dan gas yang boleh dimanfaatkan untuk membangunkan kemudahan penyimpanan karbon.

Keupayaan ini memberi peluang kepada negara untuk membina ekosistem industri mineral yang lebih bersih dan berdaya saing.

Masa depan industri nadir bumi tidak lagi hanya bergantung kepada jumlah rizab yang dimiliki tetapi bagaimana negara mampu menghasilkan mineral tersebut secara bertanggungjawab.

Negara yang berjaya menggabungkan teknologi, kelestarian dan tadbir urus baik akan lebih diyakini dalam pasaran global.

PEMULIHAN KAWASAN PERLU DILAKUKAN SECARA BERPERINGKAT

Satu lagi elemen penting dalam pendekatan ESG ialah pemulihan kawasan secara berperingkat. Aktiviti pemulihan tidak seharusnya menunggu sehingga keseluruhan projek tamat, sebaliknya perlu dilaksanakan seiring dengan kemajuan operasi.

Apabila sesuatu kawasan selesai menjalani proses larut lesap, langkah pemulihan seperti mencuci sisa larutan dalam tanah, meneutralkan keadaan tanah, menjalankan pemantauan serta menanam semula tumbuhan perlu dimulakan dengan segera.

Pendekatan ini membolehkan kawasan yang terjejas dikawal pada tahap minimum dan mengurangkan tempoh pendedahan tanah terhadap bahan kimia. Dalam masa sama, ia membantu mempercepat proses pemulihan ekosistem.

Kaedah pemulihan secara bertahap membuktikan bahawa aktiviti perlombongan tidak semestinya bercanggah dengan pemeliharaan alam sekitar. Dengan perancangan yang tepat, kedua-dua aspek tersebut boleh dilaksanakan secara seiring.

 

KEPERCAYAAN MASYARAKAT MENENTUKAN KEJAYAAN

Cabaran terbesar pembangunan industri nadir bumi di Malaysia bukan hanya berkaitan aspek teknikal tetapi turut melibatkan persepsi masyarakat.

Pengalaman negara terhadap beberapa isu perlombongan sebelum ini menyebabkan masyarakat lebih berhati-hati terhadap sebarang projek berkaitan mineral. Kebimbangan terhadap kesan alam sekitar dan keselamatan komuniti perlu dijawab melalui komunikasi yang terbuka serta maklumat yang jelas.

Tanpa keyakinan masyarakat, sesuatu projek yang mempunyai asas teknikal kukuh masih boleh berdepan tentangan, kelewatan kelulusan dan peningkatan kos.

Dalam hal ini, ESG memainkan peranan penting dalam membina penerimaan sosial untuk beroperasi. Masyarakat perlu melihat pembangunan industri mineral tidak hanya memberi manfaat ekonomi tetapi turut menjaga kepentingan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti.

Bagaimanapun, pelaksanaan ESG dalam industri nadir bumi masih berhadapan beberapa cabaran. Antaranya termasuk kekurangan tenaga pakar dalam penilaian kelestarian mineral, kos awal pembangunan sistem pemantauan moden, keperluan audit berkala serta kekurangan data asas berkaitan keadaan geologi dan air bawah tanah.

Cabaran ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, universiti, institusi penyelidikan dan pihak industri. Gabungan kepakaran pelbagai pihak amat penting bagi membangunkan piawaian nasional yang bersesuaian dengan keadaan geologi serta keperluan Malaysia. –UTUSAN

 

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Yusri Mohd. Yunus ialah Pengarah Kanan, Pusat Nadir Bumi dan Mineral Kritikal (CRECM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

DR. Aisyah Ilyani Ismail ialah Pensyarah Kanan, Felo Penyelidik Jabatan Kejuruteraan Kimia, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM).

The post Nadir bumi: Jangan korbankan alam demi kemajuan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved