
KUALA LUMPUR – Pelakon Nadzmi Adhwa meluahkan rasa kesal terhadap segelintir netizen yang mempersoalkan penyertaan isterinya, Ardell Aryana, dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0).
Menurut Nadzmi, perkongsian yang dibuat di media sosial hanyalah untuk memohon doa orang ramai agar semua peserta misi diberikan keselamatan, namun sebaliknya menerima kecaman.
“Minta doakan, tetapi dihina pula. Allah sudah menetapkan perjalanan hidup kita. Jika tidak diizinkan-Nya, ia tidak akan berlaku.
“Kepada isteri dan sahabat dalam Sumud, maafkan kata-kata mereka, mereka tidak tahu. Teruskan Sumud, Allah mengetahui niat kalian,” tulisnya di platform Threads.
Bagaimanapun, ruangan komen hantaran tersebut dipenuhi pelbagai reaksi, termasuk kritikan daripada netizen yang mempersoalkan keputusannya membenarkan isterinya menyertai misi berisiko itu.
Antara komen yang ditinggalkan termasuk mempersoalkan tindakan Nadzmi yang dilihat tidak menghalang Ardell, selain mengingatkan risiko tinggi berdasarkan pengalaman misi sebelum ini.
Selain itu, terdapat juga netizen yang mempertikaikan mengapa Nadzmi sendiri tidak menyertai misi berkenaan, memandangkan keadaan kesihatan Ardell yang dikatakan kurang stabil sebelum ini.
Terdahulu, Ardell dilaporkan berlepas ke Barcelona, Sepanyol pada 5 April lalu bagi menyertai misi kemanusiaan tersebut ke Gaza bersama beberapa aktivis lain, termasuk penyanyi Heliza Helmi dan Hazwani Helmi.
Isu ini sekali lagi mencetuskan perbincangan mengenai batas komen netizen di media sosial, khususnya apabila melibatkan usaha kemanusiaan yang bertujuan membantu pihak memerlukan. – MYBERITA




