
SHAH ALAM - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) melancarkan kempen 'Zero Late Delivery' meliputi strategi koordinasi pelbagai peringkat rantaian sumber sebagai inisiatif untuk mengelakkan kelewatan pembekalan dan pengedaran baja kepada pesawah padi.
Pengurus besarnya, Muhammad Faris Arriffin berkata, Nafas juga dalam perancangan untuk terlibat secara langsung dalam proses pengeluaran dan pembekalan benih padi sah berkualiti, mencukupi serta tepat pada masa melalui rangkaian Pertubuhan Peladang di bawah seliaan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bersama agensi berkaitan.
“Penglibatan Nafas dalam industri pembuatan baja kini sedang memberi tumpuan bagi meningkatkan hasil keluaran padi negara melalui kerjasama beberapa agensi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian, institusi pendidikan serta pihak berkepentingan.
“Dalam menghasilkan formulasi baja baharu ditambah baik bersama unsur organik dan prebiotik (unsur tambahan) yang memberi manfaat kepada pesawah untuk meningkatkan keberkesanannya serta pemulihan tanah.
“Untuk memastikan penyaluran input pertanian subsidi sampai kepada pesawah mengikut jadual penanaman, Nafas melancarkan kempen ini meliputi strategi koordinasi pelbagai peringkat rantaian sumber termasuk perolehan, pembuatan, logistik, pengedaran dan pemantauan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Muhammad Faris menerangkan, Nafas sebagai rakan kerjasama kerajaan seiring dalam memastikan hasrat berkenaan direalisasikan bagi menangani kebimbangan rakyat, lebih-lebih lagi mengenai kecukupan tahap bekalan makanan asas seperti beras.
Tambah beliau, pihaknya berharap agar bantuan subsidi racun kepada pesawah ditingkatkan daripada RM200 per hektar kepada RM500 per hektar yang melibatkan anggaran nilai peruntukan tambahan RM120 juta hingga RM300 juta.
“Ia akan memberi manfaat kepada pesawah dalam mengurangkan kos belian racun di pasaran luar dengan harga lebih tinggi, penambahan kuantiti dan pilihan racun lain berbanding pilihan semasa serta dapat mengurangkan belian racun tiruan atau yang tidak mendapat kelulusan Lembaga Racun Malaysia.
“Serta peruntukan tambahan daripada RM20 juta ke RM55 juta bagi kawasan pengapuran sekitar 18,000 hektar ke 50,000 ribu hektar.
“Tambahan keluasan kawasan pengapuran dapat memendekkan pusingan pengapuran daripada 16 kepada lapan tahun secara berperingkat supaya kawasan tersebut sentiasa berada dalam pH yang optimum,” ulas Muhammad Faris.
Katanya lagi, Nafas turut berharap terdapat peruntukan tambahan bagi penyediaan infrastruktur melibatkan kawasan tanaman luar jelapang yang mengalami isu pengairan dan perparitan serta menaik taraf infrastruktur sedia ada.
Ujar beliau, ia perlu dipertingkatkan bagi mengelak isu banjir berlaku yang mengakibatkan kerosakan seterusnya pengurangan hasil pengeluaran pesawah.

