NAFAS perkenal Skim Baja Perintis tingkat keluaran padi

21 Jul 2023 • 8:08 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SEREMBAN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), memperkenalkan Skim Baja Perintis bagi mempertingkatkan lagi kapasiti pengeluaran beras negara ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar) berkata pemberian baja perintis itu merupakan baja tambahan daripada skim subsidi bantuan input pertanian sedia ada.

“Masalah beras ini serius, pada masa akan datang apabila negara seperti India atau Vietnam mengurangkan eksport beras, kita perlu membuat persediaan yang intensif dari sekarang, NAFAS dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), memainkan peranan dalam pembenihan dan baja berkualiti,” katanya di sini hari ini.

Mohamad berkata demikian di Program Santai Peladang (zon tengah) yang turut disertai Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) NAFAS Datuk Zamri Yaakob, Pengurus Besar NAFAS Muhammad Faris Arriffin dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Nik Mohd Shaharil Nik Md Hashim.

Beliau berkata melalui usaha itu, para petani akan terus mendapat skim baja sedia ada, serta baja tambahan bagi meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran mereka.

“Saya yakin semua usaha yang sedang kita gerakkan sekarang akan mula dilihat hasilnya dalam penggal pentadbiran ini. Sebab itu kestabilan kerajaan penting supaya semua usaha ini dapat berjalan dengan sempurna,” katanya.

Mohamad berkata bagi meningkat hasil padi di negara ini, kerajaan akan memperbaiki infrastruktur pengairan, serta meneruskan bantuan input pertanian kepada pesawah seperti sedia ada, melalui NAFAS.

Beliau berkata usaha memodenkan pertanian melalui inovasi dan teknologi terkini, akan diberi keutamaan kepada kesemua warga peladang.

“Semua warga peladang bersama NAFAS, diharapkan dapat berkongsi pandangan dan kemahiran bagi mencari mekanisma terbaik dalam merealisasikan hala tuju industri padi negara, di samping meningkatkan pendapatan pesawah.

“Setelah melihat keupayaan NAFAS dalam teknologi pembuatan baja, saya yakin NAFAS akan terus memainkan peranannya dalam pembekalan baja berkualiti di masa hadapan, secara efektif selain terus membayar dividen kepada pemegang sahamnya yang rata-ratanya ahli peladang sendiri,” katanya.

Dalam pada itu Mohamad berkata jika Skim Sawah Berskala Besar (SBB), Tanaman Ala Sekinchan dan Projek Baja Pintar diperluaskan di kawasan tengah Semenanjung, purata pemutuan padi dijangka akan dapat diturunkan di bawah 15 peratus.

Beliau berkata MARDI juga diminta mencipta jentera pemotong padi yang lebih efisyen, supaya peratus padi cicir di sawah dapat diminimumkan. -Bernama