
PETALING JAYA: Pelakon, Eyra Hazali tampil meleraikan kekeliruan yang berlaku dalam kalangan netizen susulan dakwaan yang mengaitkan dirinya anak kepada bunian selepas mendengar pendedahannya menerusi sebuah program audio siar.
Menurut Eyra, dakwaan tersebut turut menimbulkan pelbagai fitnah yang turut melibatkan nama ibu bapanya serta suami, Haziq Nadzli
“Perkara ini telah mengundang beberapa fitnah yang agak melampau melibatkan ibu bapa saya. Antara fitnah itu adalah saya dikatakan anak bunian. Ada juga yang mempersoalkan sama ada ayah saya itu betul ayah kandung.
“Selain itu, ramai persoal perkahwinan saya dengan suami sah atau tidak. Perkara ini sudah jadi tidak sedap untuk didengar,” katanya menerusi sebuah hantaran video di Threads
Dalam hantaran tersebut, ibu kepada tiga orang anak itu menegaskan dia tidak pernah mengakui dirinya sebagai anak bunian, selain menjelaskan gelaran itu sekadar usikan daripada adik-beradiknya.
“Saya tidak pernah cakap bahawa saya anak bunian. Saya cuma cakap adik beradik mengusik saya anak bunian sebab kisah misteri selepas ibu saya buang televisyen lama di kawasan hutan.
“Bagi ibu bapa saya, perkara itu adalah kebetulan apabila perut membesar selepas membuang televisyen. Dan itulah detik apabila mereka dapat tahu bawah ibu saya sedang hamilkan saya.
“Perkara ini juga telah diceritakan berkali-kali kepada kenalan rapat. Cuma ini kali pertama saya bercerita secara terbuka,” jelasnya.
Dalam masa sama, pelakon drama Mr. Grey itu turut menjelaskan pada ketika itu ibunya mempunyai masalah kitaran haid sebelum disahkan mengandung.
Eyra bagaimanapun sempat menasihatkan orang ramai agar menghentikan segala spekulasi yang boleh mengundang pelbagai komen negatif terhadapnya.
“Zaman dahulu mungkin belum ada lagi kesedaran mengenai kehamilan yang tidak disedari. Kalau kamu rasa rasa perkara itu, kami tidak boleh menidakkan pengalaman orang. Tidak boleh cakap perkara itu tidak terjadi hanya kerana anda tak lalui.
“Dalam dunia ada macam-macam cerita. Apa yang kita boleh percaya, ini semua adalah kuasa Allah. Jangan buat spekulasi sehingga mengundang orang lain bercakap perkara yang tidak baik,” ujarnya.
Terdahulu, nama Eyra hangat menjadi sorotan di media sosial selepas perkongsiannya di sebuah audio siar tular ketika menceritakan perut ibunya tiba-tiba membesar pada keesokan hari selepas membuang sebuah televisyen lama.
Menurut Eyra, ibunya terkejut apabila disahkan sudah hamil tujuh bulan ketika menjalani pemeriksaan doktor dan bayi dalam kandungan tersebut ialah dia. -UTUSAN
The post Nafi anak bunian, Eyra Hazali kesal keluarga jadi mangsa fitnah appeared first on Utusan Malaysia.


