Nafi Siasatan ‘Diperam’, Majoriti Kes Diselesai Ikut Tempoh - Ahmad Rosli

LocalPolitics
13 Feb 2026 • 4:49 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

GENTING HIGHLANDS – “Tiada amalan ‘memeram’ kes atau sengaja melewatkan siasatan seperti yang disangka kebanyakan pihak”.

Itu penjelasan diberikan Pengerusi Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah  Malaysia (SPRM) Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham.

Menerusi pertemuan dengan Getaran beliau berkata, PPO setakat ini tidak menemukan sebarang petunjuk bahawa siasatan ditangguhkan secara sengaja atau diperlahankan tanpa alasan munasabah.

Menurut beliau, sebahagian besar kertas siasatan berjaya disiapkan dalam tempoh ditetapkan, termasuk garis masa siasatan yang tidak melebihi 12 bulan.

“Kami tidak melihat sebarang kecenderungan untuk melengah-lengahkan siasatan atau menyimpan kes tanpa tindakan. 

“Secara keseluruhannya, prestasi penyiasatan berada pada tahap yang memuaskan,” katanya ketika ditemui selepas Bengkel Kewartawanan SPRM, di sini.

image is not available

Ahmad Rosli berkata, isu kegagalan mematuhi tempoh masa siasatan juga jarang dibangkitkan. 

“Bagaimanapun, sekiranya berlaku kelewatan, PPO akan segera mendapatkan penjelasan daripada pegawai penyiasat terlibat,” katanya. 

Mengulas lanjut beliau menjelaskan, PPO turut meneliti semula kes yang diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) bagi memastikan tiada aspek penting terlepas pandang.

“Sekiranya terdapat sudut siasatan yang belum diperincikan, kami akan mencadangkan supaya ia diperhalusi semula, termasuk menilai kemungkinan kesalahan lain walaupun tidak menjurus kepada rasuah,” katanya.

Ahmad Rosli menarik perhatian, 1,869 kertas siasatan dengan keputusan NFA telah dibentangkan kepada PPO bagi tempoh 2009 hingga tahun lalu.

Daripada jumlah itu katanya, 1,760 keputusan dipersetujui, manakala 136 kes diarahkan untuk disemak semula.

“SPRM sentiasa bersikap terbuka terhadap setiap teguran dan cadangan penambahbaikan yang dikemukakan panel, termasuk usaha memperkukuh kepakaran pegawai penyiasat.

“Kita lihat komitmen yang baik daripada pihak SPRM untuk menambah baik proses sedia ada dan menerima pandangan secara profesional,” katanya. - Getaran, 13 Februari 2026