
IPOH – Waris dua remaja yang baru menempuh alam pekerjaan kira-kira setahun sebelum terkorban dalam kemalangan tragis di Jalan Jelapang-Ampang di sini kelmarin layak menerima faedah LINDUNG 24 Jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bernilai lebih RM275,000.
Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Perkeso dalam kenyataannya berkata, berdasarkan semakan rekod mereka, Muhammad Izdihar Rafiq Sarajil Korin,19, mula mencarum apabila diambil bekerja pada Januari tahun ini.
Menurut Perkeso, rakannya pula iaitu Muhamad Faiz Danial Jumri, 19, yang turut maut dalam insiden sama disahkan berkhidmat sejak Ogos tahun lalu.
“Perkeso ketika mengesahkan perkara itu memaklumkan bahawa kedua-dua mangsa yang berusia 19 tahun tetap memilih untuk meneruskan caruman LINDUNG 24 Jam. Meskipun kemalangan berlaku di luar waktu kerja, nasib waris iaitu ibu bapa dan adik-beradik mangsa yang mungkin sebelum ini pernah bergantung harap pada arwah, masih tetap terbela,” katanya di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seramai tiga lelaki maut dalam kemalangan membabitkan 12 buah motosikal dan tiga kereta di Jalan Jelapang-Ampang awal pagi kelmarin.
Mengulas lanjut, Perkeso berkata, waris Allahyarham Muhammad Izdihar layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM945 sebulan, mengikut syer masing-masing.
“Ibu dan bapanya mendapat bayaran berkenaan untuk sepanjang hayat manakala tiga adik arwah menerima manfaat sama sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian peringkat ijazah.
“Bagi Allahyarham Muhamad Faiz, bayaran FOT sebanyak RM891, mengikut syer masing-masing akan disalurkan untuk sepanjang hayat kepada ibu bapanya, manakala seorang adik arwah menerima manfaat sama sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian peringkat ijazah,” katanya.
Selain itu, Perkeso berkata, kedua-dua waris mangsa layak menerima Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM3,000 secara sekali bayar.
“LINDUNG 24 Jam memperuntukkan kelangsungan gantian pendapatan dalam jangka panjang kepada waris sekiranya berlaku insiden tidak terduga terhadap pencarum.
“Sehubungan itu, jumlah keseluruhan bayaran pencen berkala menerusi FOT untuk tempoh 15 tahun kepada waris mangsa dalam kes kemalangan tragis ini menjangkau lebih RM275,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas 12 motosikal: Dua remaja maut terima manfaat Perkeso lebih RM275,000 appeared first on Kosmo Online.






