Nahas 5 Maut: Remaja Disyaki Memandu Secara Berbahaya, Melulu, Direman

2 Jun 2026 • 2:08 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Nahas 5 Maut: Remaja Disyaki Memandu Secara Berbahaya, Melulu, Direman

KUALA LUMPUR - Seorang remaja berusia 19 tahun yang juga pemandu Mercedes-Benz dalam nahas ngeri meragut lima nyawa direman dua hari oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini.

Perintah reman ke atas suspek berusia 19 tahun, yang juga penuntut di sebuah universiti di Singapura itu dikeluarkan oleh Majistret Mustaqim Sukarno bermula hari ini sehingga esok.

Polis sedang menyiasat kejadian tersebut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000 jika disabitkan kesalahan.

Suspek dipercayai memandu secara berbahaya bersama abangnya yang berusia 22 tahun, sehingga menyebabkan kemalangan berlaku pada jam 1.15 petang semalam.

Terdahulu, dia tiba di perkarangan mahkamah pada jam 10.20 pagi sebelum dibawa ke kamar untuk perintah reman.

Berlaku sedikit kekecohan apabila peguam suspek menghalang jurugambar daripada mengambil gambar pemuda berkenaan ketika dia dibawa turun daripada trak polis.

Dalam nahas semalam, empat sekeluarga iaitu Semek Mat Soh, 73, Aiman Mohd Rashid, 36, Nor Azlina Abd Latip, 33, dan Nur Airish Syifa Sidek, 10, disahkan maut di lokasi kejadian. 

Kesemua mangsa yang meninggal dunia dilaporkan dalam perjalanan dari Melaka untuk pulang ke Kota Tinggi.

Abang suspek yang juga pemandu kereta BMW 530e turut maut dalam insiden berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini untuk menghubungi balai polis berhampiran.

Mereka juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784222, 07-7766822 (hotline), 07-7784256 atau 014-365682.