Nahas bas UPSI: Bapa hanya dapat sahkan jenazah anak melalui cap jari

10 Jun 2025 • 12:05 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Hanya selepas tiga kali mencuba, Rosdi Yunus, 56, akhirnya dapat mengesahkan jenazah anaknya, Fakhrul Arif, 20, salah seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Tasik Banding.

Menurut Rosdi, dia pada mulanya gagal mengecam jenazah anak keempat daripada lima beradik itu walaupun diminta membuat pengecaman sebanyak dua kali, pertama melalui gambar, kemudian melalui pakaian. Hanya selepas ujian cap jari dilakukan, identiti arwah disahkan.

“Pengecaman pertama jam 12 tengah hari saya tak pasti. Kali kedua jam 3 petang melalui pakaian pun saya masih tak dapat cam. Selepas ujian cap jari keluar keputusan, barulah sah itu anak saya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Jenazah tidak sempat dibawa pulang ke rumah

Fakhrul Arif antara 15 mangsa yang terkorban dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan sebuah MPV di Gerik. Jenazahnya dikebumikan sekitar jam 4.30 pagi selepas solat jenazah di Masjid Hadhari bersama 12 mangsa lain.

Rosdi turut memaklumkan, keluarganya pada awalnya merancang untuk membawa jenazah pulang ke rumah terlebih dahulu, namun terpaksa menukar rancangan atas faktor keadaan fizikal jenazah yang sudah tidak mengizinkan.

“Masjid Hadhari tempat terakhir arwah dan kawan-kawan berkumpul sebelum bertolak. Dan masjid itu jugalah jadi lokasi terakhir sebelum semua dikebumikan,” katanya.

Rosdi turut menyatakan rasa syukur dan terharu dengan sokongan masyarakat yang hadir dan menunggu di sepanjang jalan semata-mata untuk memberi penghormatan terakhir kepada anaknya dan mangsa lain.