
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Tragedi nahas bas persiaran membawa 44 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pastinya menjadi salah satu sejarah hitam buat negara apabila 15 bakal pendidik terkorban dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik pada awal pagi semalam itu (9 Jun).
Kejadian itu bukan hanya menyentuh hati keluarga dan rakan-rakan mangsa, tetapi juga jiwa masyarakat di seluruh negara. Malah, kebanyakan rakyat juga pastinya ingin mengetahui apakah punca yang menyebabkan berlakunya tragedi yang mengerikan itu.
Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini menyatakan akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kemalangan tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: Nahas Bas UPSI: Pemandu Mohon Maaf Kepada Keluarga & Pelajar, Dakwa Brek Tiba-Tiba Tak Berfungsi
Polis sahkan pemandu bas bawa penuntut UPSI ada rekod 18 saman
Terbaharu, polis mengesahkan sebanyak 18 saman pernah dikeluarkan kepada pemandu bas yang membawa pelajar UPSI itu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, daripada 18 saman itu, kebanyakan kesalahan kerana memandu laju.

Jelasnya, 13 saman dikeluarkan atas kesalahan memandu laju, satu kesalahan kemalangan, tiga kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan satu kesalahan tiada lampu brek ketiga.
“Semua 18 saman itu masih belum diselesaikan lagi,” katanya dipetik Harian Metro hari ini (10 Jun).
Siasatan juga dapati bas terbabit ada 21 rekod saman
Menurutnya, siasatan turut mendapati bas tersebut mempunyai 21 rekod saman yang dikeluarkan atas kesalahan trafik.
“Bagaimanapun rekod saman ke atas bas terbabit 16 sudah dijatuhkan hukum manakala baki lima saman masih dalam siasatan,” katanya.
Terdahulu, Mohd Yusri berkata, PDRM dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensei Pengangkutan Awam Darat dan pihak berkaitan akan menyiasat nahas itu secara menyeluruh.
Kelindan bas masih hidup dan sedang dirawat
Dalam pada itu, pemandu bas berkenaan, Mohd Amirul Fadhli Zulkifle menafikan laporan yang kelindan bas turut meninggal dunia dalam kemalangan terbabit.
Pemandu bas berusia 39 tahun itu berkata, kelindan bas, Samsudin Hamat yang juga bapa saudaranya masih hidup dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Taiping, Perak.
“Semalam media melaporkan kelindan bas meninggal dunia, saya agak terkejut dan ramai ahli keluarga bertanyakan saya.
“Sedangkan bapa saudara saya yang merangkap kelindan bas masih hidup dan kini sedang menunggu untuk menjalani pembedahan. Justeru saya minta supaya maklumat kematian kelindan diperbetulkan,” ujarnya.
Dakwanya lagi, dia dan bapa saudaranya yang berusia 50-an itu juga mempunyai lesen memandu bas dan berpengalaman membawa kenderaan berat itu, lapor Harian Metro.
Sebelum ini, tular rakaman kamera dashcam yang memperlihatkan saat bas persiaran yang membawa penuntut UPSI itu terbalik sebelum merempuh Perodua Alza.
Baca Artikel Berkaitan: Nahas Bas UPSI: Mangsa Maut Dikategori Syahid Akhirat – Mufti Pulau Pinang
Baca Artikel Berkaitan: Nahas Bas UPSI: “Hantar Anak Malam Tadi, Pagi Ini Dapat Tahu Dia Meninggal Dunia” – Ibu
Source:



