Nahas Bas UPSI: Pemandu Mohon Maaf Kepada Keluarga & Pelajar, Dakwa Brek Tiba-Tiba Tak Berfungsi

LocalCars
10 Jun 2025 • 11:33 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kemalangan melibatkan sebuah bas penyiaran yang membawa 42 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah kereta Perodua Alza pada 1.30 pagi semalam (9 Jun) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak nyata meruntun hati ramai pihak.

Manakan tidak, seramai 15 orang bakal guru terkorban manakala 27 orang lagi cedera dan masih menerima rawatan di hospital.

Malah, turut tular rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan detik-detik kejadian itu berlaku.

Menerusi rakaman yang tular itu, dapat dilihat bas berkenaan dipandu dalam keadaan laju sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Pemandu Bas Mohon Maaf Kepada Keluarga & Pelajar UPSI, Dakwa Brek Tidak Berfungsi Tiba-Tiba

Terbaharu, pemandu bas penyiaran yang terselamat daripada insiden berkenaan, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle memohon maaf kepada kesemua keluarga mangsa dan pelajar yang terlibat.

Jelasnya, brek bas tersebut tidak berfungsi secara tiba-tiba ketika dia memandu bas berkenaan.

“Saya minta maaf kepada seluruh keluarga mangsa dan pelajar yang terbabit dalam kemalangan pagi semalam. Apa yang berlaku disebabkan brek bas tidak berfungsi secara tiba-tiba,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Bas Berada Dalam Keadaan Baik, Cuba Elak Dari Melanggar Kenderaan Lain

Dakwa Mohd Amirul yang berusia 39 tahun, bas yang bertolak dari Jerteh, Terengganu itu berada dalam keadaan baik sehinggalah secara tiba-tiba brek bas tidak berfungsi ketika tiba di jambatan lintasan gajah di Gerik, Perak.

“Ketika itu saya sudah cuba melakukan pelbagai cara, namun disebabkan angin bas juga kosong menyebabkan semua tidak berfungsi termasuk brek tangan dan gear bas juga tidak boleh ditukar.

“Apa yang saya buat ketika itu adalah cuba mengelak dari kenderaan lain supaya tidak merempuh mereka dan seingat saya empat kenderaan saya elak termasuk lori sebelum kejadian berlaku.

“Kenderaan terakhir saya potong adalah kereta yang mempunyai dashcham dan ketika itu saya sudah sedaya upaya melakukan yang terbaik supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk.

“Orang nampak saya memotong dan bawa laju sedangkan hakikat sebenar saya cuba mengelak dari melanggar kenderaan mereka namun disebabkan kejadian yang berlaku adalah kawasan selekoh, saya tidak mampu berbuat apa-apa,” jelasnya lagi.

Turut Menjerit Minta Pelajar Bersedia Hadapi Kemungkinan

Dia yang mempunyai pengalaman membawa bas sejak tahun 2016 mendedahkan, sebaik mengetahui brek bas tidak berfungsi, dia menjerit kepada pelajar supaya bersedia dan berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Mereka yang berada di kerusi depan mungkin sedar dengan arahan saya, namun yang berada di belakang kebanyakannya sedang tidur dan menyangka saya sedang marah.

“Saya jangka bas bergerak dalam keadaan brek tidak berfungsi sejauh lebih satu kilometer dan apa yang pasti saya sudah cuba yang terbaik sebagai pemandu bas untuk mengelak kemalangan itu.

“Saya tidak memandu laju sebagaimana yang tular kerana saya sendiri arif dengan laluan Jeli-Gerik, apatah lagi lokasi kejadian itu sedang menuruni bukit,” jelasnya.

Pemandu Sendiri Pengsan Sebelum Minta Pelajar Keluar Mengikut Cermin Hadapan Bas

Tambahnya lagi, dia sendiri pengsan seketika ketika bas tersebut terbalik sebelum sedar dan meminta pelajar keluar daripada kenderaan tersebut menerusi cermin hadapan yang pecah.

“Saya merangkak keluar daripada cermin depan dan ketika itu saya melihat keadaan pelajar semua. Saya sendiri sedih dan menangis dengan apa yang berlaku, namun apakan daya, Allah uji saya dengan kemalangan berat ini.

“Sepanjang saya memandu bas, ini adalah pertama kali saya terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan nyawa dan sebagai pemandu bas, sudah tentu saya rasa sangat bersalah.

“Namun apa yang berlaku tidak mampu diundurkan masa, saya hanya mampu meminta maaf kepada semua dan saya menyerahkan siasatan kepada pihak polis,” katanya sebak.

Tambah Amirul yang kini sedang dirawat di Hospital Taiping, dia sedang menunggu untuk menjalani pembedahan tangan kiri yang patah.

Source: