GERIK - Seorang lelaki maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Puncak Titiwangsa pada Isnin.
Panggilan kecemasan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik jam 11.24 pagi melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Ativa dan Kia Forte.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota yang tiba di tempat kejadian mendapati, Perodua Ativa telah terbalik ke dalam longkang, manakala sebuah lagi kereta terbabas ke bahu jalan.
“Terdapat empat mangsa menaiki Perodua Ativa, di mana seorang lelaki dewasa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala tiga lagi mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
**media[3470051]**
Menurut beliau, dua lagi mangsa yang menaiki Kia Forte, masing-masing lelaki dan perempuan turut mengalami kecederaan.
Katanya, pasukan penyelamat bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas sebelum semua mangsa yang cedera diberikan rawatan awal.
"Kesemua lima mangsa yang cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Jeli menggunakan jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
**media[3470052]**
"Manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Operasi yang melibatkan 17 anggota BBP Gerik dan Jeli itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.48 petang.

