Nahas Elmina: Adik nekad teruskan legasi kebaikan Ustaz Deris

20 Aug 2023 • 5:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Nurul (tengah) ketika ditemui di pekarangan Masjid Tengku Sulaiman Ketari dekat Bentong pada Ahad. Gambar kecil: Nurul Qomar

BENTONG - Nurul Qomar Abdol Talib@Ramali, 38, iaitu adik kepada Allahyarham Idris, 41, nekad ingin meneruskan legasi kebaikan yang dilakukan oleh abangnya selepas ini.

Allahyarham Idris antara 10 yang terkorban dalam nahas pesawat ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Elmina Central Park, Seksyen U16, dalam insiden jam 2.40 petang pada Khamis lalu.

Nurul yang juga anak ketujuh daripada lapan beradik itu memberitahu, abangnya aktif dalam pelbagai kerja kemasyarakatan dan kebajikan di daerah ini sepanjang hayat hidupnya.

"Sebenarnya benda ini saya tak nak cerita, biar perkara itu rahsia dia dengan ALLAH SWT.

"Antaranya abang ada membantu sebuah keluarga mualaf dipercayai dari Sarawak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hantar sejarah, al-Quran dan tak sangka bantuan bulanan turut diteruskan hingga sekarang selain seorang bapa tunggal India tahun ini yang akhirnya telah memeluk agama Islam," kata Nurul.

Nurul yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang ditemui selepas majlis pengebumian Allahyarham Idris di Tanah Perkuburan Barak dekat Benus, Bentong di sini pada Ahad.

Mengulas mengenai sikap Allahyarham, beliau memberitahu, abangnya yang juga anak kelima daripada lapan beradik banyak bergurau dalam kumpulan di aplikasi WhatsApp berbanding sebelum ini.

"Dua hari sebelum kejadian, abang banyak mengusik rakan-rakan dan kali terakhir jumpa pada Selasa, sempat minum air termasuk pegawai-pegawai lain yang terkorban dalam nahas tersebut. Sejujurnya abang tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap," tambah Nurul lagi.

Reda dengan kehilangan tersebut, Nurul akui ketenangan yang dipamerkan oleh kedua ibu bapanya memberikan banyak kekuatan terhadap keluarga mereka untuk menghadapi ujian terbabit.

Sebelum ini, Allahyarham Idris atau mesra dengan panggilan Ustaz Deris bertugas selaku Ketua Unit Penguat Kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Raub bercuti setahun tanpa gaji dan bertugas sebagai pegawai khas Exco Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Allahyarham Idris meninggalkan seorang balu, Adlina Aisyah Ahmad Rusli, 41, dan tiga orang anak masing-masing berusia 56 hari, 10 tahun serta 14 tahun.