
KLANG - [DIKEMAS KINI] "Adik sayang mama," itu ucapan terakhir, juruterbang, Shahrul Kamal Roslan, kepada ibunya, Mahanum Ismail, 67, beberapa hari sebelum bertugas.
Mahanum berkata, dia dimaklumkan kejadian nahas pesawat yang dipandu anaknya terhempas di Elmina, Shah Alam sekitar jam 4 petang oleh suami ketika berada di hospital bagi menerima rawatan kesihatan.
"Saya sudah berada di hospital selama 25 hari dan baru selesai menjalani pembedahan.
"(Masa Shahrul hubungi) dia kata bila saya dah sihat akan bawa anak-anaknya ke rumah saya. Ayat penghabisan dia cakap adik sayang mama, jadi saya pun cakap mama sayang adik.
"Saya ada dua anak sahaja, dia yang bongsu manja dan kesayangan saya," katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada Khamis.
Tambahnya, Allahyarham sebelum ini merupakan juruterbang Malaysia Airlines, Abu Dhabi dan Etihad Airways namun pulang semula ke tanah air ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.
"Shahrul mempunyai empat orang anak dan isterinya seorang suri rumah. Dia hilang pekerjaan ketika PKP itu dan baru kembali bekerja selepas mendapat peluang membawa jet peribadi berkenaan," jelasnya.
Mengulas lanjut, Mahanum berkata, bagi lokasi pengebumian Allahyarham masih belum diputuskan lagi sama ada di Bukit Jelutong atau Wangsa Melawati.
ARTIKEL BERKAITAN:


![[Tragedi Elmina] “Adik Sayang Mama Sangat” – Perbualan Terakhir Juruterbang Dengan Ibu](https://cdn.newswav.com/img/web-revamp/broken-placeholder.png)