Nahas Elmina: Jenazah Muhamad Hafiz selamat dikebumikan

19 Aug 2023 • 4:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz selamat dikebumikan kira-kira jam 3.45 petang selepas selesai disolatkan.

image is not available
Rabiatul Adawiyah

SUNGAI PETANI - Jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, yang merupakan salah seorang mangsa dalam nahas pesawat terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam pada Khamis selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda Kampung Jerung, di sini pada Sabtu.

Jenazah Allahyarham tiba di pekarangan masjid pada jam 2.57 petang dan selamat dikebumikan pada jam 3.45 petang selepas selesai disolatkan.

Dianggarkan lebih 500 orang termasuk saudara-mara dan masyarakat setempat hadir ke masjid berkenaan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir adalah Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, Bau Wong Bau Ek.

Sepupu mangsa yang juga seorang guru, Rabiatul Adawiyah Zakaria, 35, bersyukur urusan membawa pulang jenazah ke kampung dipermudahkan.

Katanya, ia mungkin berkat doa orang ramai di seluruh Malaysia yang menyebabkan urusan sepupu lelakinya itu berjalan lancar.

"Kalau ikutkan hari Isnin kan, tapi doa orang ramai saya ucap terima kasih lah mungkin salah satu daripada doa kita dimakbulkan ALLAH," katanya.

Jenazah Muhamad Hafiz merupakan mangsa pertama yang dikenal pasti identiti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Jenazah kemudiannya dimandi dan dikapankan oleh petugas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Masjid Jamek Ar-Rahimiah berdekatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) sebelum dituntut oleh bapanya, Muhamad Salleh, 57, kira-kira jam 9.30 pagi.

Serahan jenazah Allahyarham dibuat selepas sidang akhbar oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang mengesahkan identiti mangsa dan kebenaran tuntutan jenazah kepada keluarga.

Nahas pesawat persendirian jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam, kelmarin mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Muhamad Hafiz yang juga anak sulung daripada lima beradik adalah pekerja p-hailing yang kebetulan lalu di lokasi kejadian dan menjadi antara 10 mangsa yang maut dalam nahas tersebut.

Berita pemergian Allahyarham Muhamad Hafiz juga mencuri perhatian orang ramai ekoran kejadian yang tidak disangka-sangka terjadi kepadanya ketika sedang keluar mencari rezeki.

Menurut saksi kejadian, Allahyarham sempat menyebut ‘Allahuakbar’ sebelum menghembuskan nafas terakhir.

ARTIKEL BERKAITAN