Nahas Elmina: Siasatan polis selesai

20 Aug 2023 • 3:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ayob Khan (kiri), Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tengah) ketika menghadiri majlis pengebumian Johari di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, Selangor pada Ahad. - Foto Bernama

GOMBAK - Siasatan kes nahas pesawat di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam, Khamis lalu selesai dijalankan pihak polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan akan diteruskan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) bagi mengenal pasti punca insiden.

"Siasatan pihak polis melibatkan pengecaman mayat sudah selesai, siasatan lanjut nahas kita serah kepada BSKU.

"Proses siasatan kita dah habis dan semua jenazah sudah dituntut. Kita dah buat padanan asid deoksiribonukleik (DNA) dan Ketua Polis Selangor juga dah keluar kenyataan semalam," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah di sini, pada Ahad.

Beliau hadir ke tanah perkuburan itu bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang maut dalam nahas pesawat Beechcraft 390.

Terdahulu media melaporkan sembilan jenazah mangsa akan dikebumikan di lokasi berasingan sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang dan Perak, hari ini.

Mengikut senarai dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), jenazah Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Batu Caves.

Jenazah juruterbang pesawat, Shahrul Kamal Roslan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam (TPI) Klang Gate, Gombak manakala juruterbang, Heikal Aras Abdul Azim disemadikan di TPI Presint 20, Putrajaya.

Sementara itu, jenazah pemandu e-hailing, Sharipudin Shaari dikebumikan di TPI Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang manakala penumpang pesawat, Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi di TPI Sungai Kantan, Kajang dan Muhammad Taufik Mohd Zaki di TPI Ukay Perdana, Kuala Lumpur.

Dua penumpang pesawat dikebumikan di Pahang ialah Khairil Azwan Jamaludin di TPI Felda Mempaga 1 manakala Idris Abdul Talib@Ramali di TPI Baraq Benus, Bentong.

Jenazah seorang lagi penumpang pesawat, Shaharul Amir Omar dikebumikan di TPI Manjong, Perak.