Nahas FRU: Pemandu lori belum dijamin lagi

LocalPolitics
18 May 2025 • 3:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar video memaparkan usaha pihak tertentu untuk membayar jaminan pemandu lori yang dituduh di Mahkamah Majistret Teluk Intan, Jumaat lalu. Gambar kanan: Bakri

TELUK INTAN – Polis menafikan dakwaan bahawa pemandu lori yang terlibat dalam nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada Selasa lalu telah dibebaskan dengan jaminan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, setakat ini, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, masih berada di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

"Difahamkan ada rakannya yang mahu membayar ikat jamin, mungkin esok.

"Proses jamin dan urusan keluar masuk orang kena tuduh ini hanya boleh dilakukan pada hari bekerja," katanya di sini pada Ahad.

Menurut beliau, tertuduh akan dihantar ke Pusat Koreksional Batu Gajah bagi menjalani reman penjara sekiranya tiada jaminan yang diterima oleh pihak mahkamah.

"Tertuduh akan menjalani reman penjara sehingga kes disebut semula pada 17 Jun ini," katanya.

Pada Jumaat lalu, Rudi Zulkarnain mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU di Mahkamah Majistret Teluk Intan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu lori jenis Hino telah memandu dengan cara berbahaya hingga mengakibatkan kematian kepada S Perumal, 44, Mohd Roslan Abdul Rahim, 46; Mohd Pozli Jaudin, 41; Nurit Pandak, 34, dan Amiruddin Zabri, 38.

Turut terkorban ialah Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Muhamad Akmal Muhamad, 35; Damarrulan Abdul Latif, 33; dan Akmal Wafi Annuar, 21.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM6,000 bagi semua pertuduhan.