Nahas helikopter: Demi janji dengan pesakit, kru FDS tetap ‘terbang’ dalam cuaca berjerebu

LocalHealth & Fitness
8 Sep 2026 • 9:54 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kru Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) dilaporkan tetap meneruskan penerbangan ke Long Lellang meskipun menyedari keadaan cuaca ketika itu terjejas akibat jerebu.

Pemilik kedai sempat berbual dengan kru helikopter

Memetik laporan The Borneo Post, pemilik kedai runcit di Long Siut, Bungan Tegong, 61, mendedahkan dia sempat berbual dengan kru helikopter sebelum mereka meneruskan penerbangan ke destinasi berkenaan.

Menurut Bungan, beliau sempat bertanyakan kepada kru mengapa penerbangan masih diteruskan dalam keadaan cuaca yang kurang baik akibat jerebu.

“Saya bertanya kepada mereka mengapa mereka masih meneruskan perjalanan jika mereka tahu keadaan cuaca terjejas akibat jerebu.
“Salah seorang daripada mereka menjawab, ‘Tak boleh mak cik, sebab kami sudah ada janji dengan pesakit’,” katanya.

Image from: Nahas helikopter: Demi janji dengan pesakit, kru FDS tetap ‘terbang’ dalam cuaca berjerebu

Mendarat isi minyak sebelum kru berehat untuk teruskan perjalanan

Bungan menyatakan, helikopter berkenaan terlebih dahulu mendarat di Long Siut pada tengah hari bagi mengisi minyak sebelum kru singgah di kedai runcitnya untuk berehat, minum dan membeli beberapa barangan.

Ujarnya, kru terbabit meluangkan masa kira-kira sejam di kedainya sebelum meneruskan perjalanan ke Long Lellang.

Tambahnya lagi, salah seorang kru wanita sempat bertanyakan sama ada dirinya pernah ke Long Lellang sebelum menjelaskan bahawa beliau tidak pernah ke kawasan tersebut.

“Saya kemudian bertanya berapa lama masa yang diperlukan untuk terbang dari Long Siut ke Long Lellang, dan dia berkata kira-kira 10 minit,” katanya.

Bungan turut memaklumkan bahawa dia mengenali juruterbang terbabit yang kerap mengendalikan penerbangan FDS dan sering berhenti di Long Siut untuk mengisi minyak.

“Juruterbang itu sering menerbangkan FDS dan kerap mengisi minyak di sana. Itulah sebabnya saya mengenalinya,” katanya.

Image from: Nahas helikopter: Demi janji dengan pesakit, kru FDS tetap ‘terbang’ dalam cuaca berjerebu

Helikopter BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF itu dilaporkan terhempas berhampiran Long Lellang STOLport kira-kira pukul 3.40 petang tadi.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan helikopter berkenaan sedang menjalankan penerbangan FDS dengan lima individu termasuk juruterbang.

Sumber: The Borneo Post

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved