Nahas Hornet: PM Zahir Simpati, Arah Siasatan Menyeluruh

LocalPolitics
22 Aug 2025 • 10:22 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dua juruterbang pesawat Horner yang terbabit dalam nahas malam tadi dibawa ke HTAA untuk rawatan - Gambar orang awam

KUALA LUMPUR — Siasatan nahas pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlaku malam tadi perlu dilakukan secara menyeluruh. 

Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, punca kejadian perlu dikenal pasti. 

Menurut beliau, pihak berkaitan juga harus memastikan langkah keselamatan diambil bagi mengelakkan perkara sama berulang.

Menzahirkan rasa simpati terhadap juruterbang dan pembantu juruterbang, Perdana Menteri turut mendoakan keduanya segera sembuh dari kecederaan dialami.

“Saya mendoakan agar kedua-dua anggota yang cedera diberikan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatan dan pemulihan,” katanya meneusi perkongsian di media sosial.

Sementara itu, TUDM mengesahkan  dua juruterbangnya yang cedera dalam insiden tersebut telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menggunakan ambulans Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Getaran difahamkan, keduanya menerima rawatan lanjut di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Nahas pesawat F/A-18D Hornet itu tular di media sosial, malah ada rakaman video memaparkan enjin pesawat mengalami kebakaran ketika mahu berlepas dari landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang pada jam 9.05 malam. 

Butiran lanjut mengenai kejadian bagaimanapun masih belum didedahkan oleh pihak TUDM.

Untuk rekod, TUDM memiliki lapan pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) dua enjin F/A-18D Hornet yang dibeli daripada McDonnell Douglas (kini Boeing) dan telah diterima pada 1997. - Getaran, 22 Ogos 2025