Nahas Hornet TUDM, Mindef perlu buka mata segerakan pelan pemodenan pesawat pejuang baharu

22/08/2025 - 08:44
Pesawat Hornet TUDM telah memberikan perkhidmatan yang terbaik sepanjang 27 tahun dioperasikan. Oleh Zaki Salleh
KUALA LUMPUR 22 Ogos - Insiden membabitkan sebuah pesawat pejuang F/A‑18D Hornet TUDM yang kemalangan semasa berlepas di landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang malam tadi
Pesawat terbabit terhempas ketika berlepas, namun kedua-dua juruterbang dilaporkan selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Walaupun tiada nyawa terkorban, insiden ini dilihat sebagai isyarat bahawa TUDM memerlukan pesawat baharu dengan segera untuk menjamin keselamatan operasi dan kedaulatan ruang udara negara.
Ini merupakan nahas pertama melibatkan pesawat Hornet TUDM sepanjang dioperasikan sejak 27 tahun lalu, satu rekod yang terbaik bagi sesebuah pesawat pejuang.

Sepanjang tempoh itu sejak diterima pada 1997, Hornet menjadi tunjang sebagai pesawat pejuang dan serangan maritim unggul dimiliki TUDM.
Nahas menyaksikan aset Hornet TUDM berbaki 7 buah.
Meskipun TUDM telah menjalankan program penyelenggaraan tempatan (LPM12Y) bagi memanjangkan jangka hayat operasinya dan menjimatkan kos sebanyak 25%, risiko operasi tetap wujud seiring peningkatan usia sistem pesawat.
Nahas terbaru ini mengundang persoalan sama ada kos untuk terus menyelenggara Hornet sedia ada berbaloi, atau adakah sudah tiba masanya Malaysia beralih kepada pelan perolehan jangka pendek dan panjang yang lebih mampan.
Sepertimana umum sedia maklum, Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang giat berunding dengan Kuwait untuk memperoleh pesawat F/A‑18 Hornet C/D terpakai milik negara tersebut.


Anggaran 30 hingga 38 buah pesawat diintai oleh Mindef tertakluk kepada kelulusan kerajaan Amerika Syarikat.
Pada masa sama, Mindef juga telah membuat kenyataan untuk mempertimbangkan cadangan membeli pesawat pejuang generasi kelima (Gen 5) sekiranya proses mendapatkan Hornet terpakai Kuwait memakan masa panjang.
Langkah ini merupakan penyelesaian pragmatik untuk memperkukuh kuasa udara TUDM dalam jangkamasa panjang apabila dilakukan menjelang 2040.
Ketika ini Mindef termasuk TUDM belum mengeluarkan sebarang kenyataan susulan nahas Hornet termasuk status baki pesawat sama ada digantung penerbangan sementara atau sebaliknya.

Dalam amalan biasa selepas nahas, TUDM akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kemalangan.
Demi menjamin keselamatan ruang udara negara dan menambah keyakinan rakyat, beberapa langkah penting perlu diambil segera oleh kerajaan.
Pertama, mempercepatkan proses perolehan pesawat pejuang baharu sama ada sebagai langkah sementara memandangkan proses mendapatkan pesawat Gen 5 bakal memakan masa panjang.
Mindef wajar memulakan pelan perolehan jangka panjang untuk menggantikan semua pesawat pejuang sedia ada dengan platform generasi ke-4.5+ yang merupakan teknologi masa kini.


Pesawat Gen 4.5+ adalah relevan kerana ia lebih berupa berbanding pesawat Gen 4, malah ada yang mempunyai ciri-ciri menghampiri pesawat Gen 5.
Mendapatkan pesawat Gen 4.5+ juga sebagai persediaan kepada juruterbang dan kru TUDM pada peralihan pesawat Gen 5 apabila tiba masanya.
Kedua, Mindef perlu mengutamakan perolehan FLIT/LCA di bawah Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55) dengan melaksanakan perolehan kumpulan kedua pesawat FA-50M.
Jumlah tambahan 18 buah pesawat baharu ini bakal menggandakan 18 pesawat yang akan diterima menjelang Oktober 2026.


Langkah ketiga ialah memperkasa penyelenggaraan Sukhoi Su‑30MKM dengan memperkukuh kerjasama industri pertahanan tempatan dan antarabangsa.
Sepertimana rancangan TUDM, Sukhoi akan digunakan sehingga 2040 dan sepanjang tempoh itu keupayaan pesawat buatan Rusia ini perlu ditingkat upaya supaya setanding dengan teknologi semasa.
Memodenkan Su‑30MKM akan memberi nafas baharu kepada kekuatan udara TUDM, tetapi tidak menggantikan keperluan terhadap pesawat generasi baharu yang lebih moden, versatil dan ekonomi dalam jangka masa panjang.
Nahas pesawat Hornet di Kuantan bukan hanya kemalangan, tetapi perlu dilihat kerajaan bahawa jurang keupayaan yang semakin melebar dalam sistem pertahanan udara negara perlu bangkit. - DagangNews.com
standard



