Nahas Kereta Api Odisha: PM, Isteri Kongsi Rasa Sedih

LocalPolitics
4 Jun 2023 • 4:29 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tragedi melibatkan kereta api Coromandel Express yang dalam perjalanan ke Chennai dan kereta api Yesvantpur-Howrah Superfast, setakat ini telah mengorbankan 300 nyawa. - Gambar NBC News

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah antara pemimpin dunia yang turut berkongsi rasa sedih atas nahas kereta api di Odisha, India.

Turut berkongsi perasaan sama ialah isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

image is not available
Anwar Ibrahim - Gambar fail

Menerusi ciapan ringkas di Twitter, Perdana Menteri berkata, beliau mewakili kerajaan Malaysia mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa dan mereka yang terkesan.

“Saya dan Azizah amat berdukacita mendengar berita mengenai kemalangan kereta api yang penuh tragis di negeri Odisha.

“Mewakili kerajaan Malaysia, saya zahirkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa dan mereka yang terlibat. Doa dan ingatan kami mengiringi India dalam suasana yang sukar ini,” katanya.

Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tidak ketinggalam melahirkan rasa sedih atas nahas tersebut.

Menurut beliau, kerajaan Malaysia turut mendoakan agar misi menyelamat semua mangsa berjalan dengan lancar.

“Saya amat sedih mendengar berita mengenai tragedi kereta api di negeri Odisha yang meragut ratusan nyawa dan mencederakan ramai lain.

“Takziah kepada semua mangsa terlibat dan keluarga mereka. Semoga mereka yang cedera segera sembuh,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, Suruhanjaya Tinggi Malaysia yang berpangkalan di New Delhi turut tidak ketinggalan merakamkan ucapan takziah.

“Kami bersama dengan kerajaan dan rakyat India mendoakan misi menyelamat akan berjaya dan kami juga turut bersimpati kepada waris mangsa,” ciap suruhanjaya itu di Twitter.

Tragedi melibatkan kereta api Coromandel Express yang dalam perjalanan ke Chennai dan kereta api Yesvantpur-Howrah Superfast itu berlaku apabila kedua-duanya bertembung, menyebabkan satu daripada kereta api berkenaan melanggar kereta api kargo.

Insiden tersebut yang berlaku lewat Jumaat lalu disifatkan sebagai terburuk di India dalam tempoh lebih 20 tahun. - Getaran, 4 Jun 2023