
KUALA LUMPUR - Kaki kanak-kanak perempuan yang terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kota Bharu pagi semalam terpaksa dipotong sehingga ke paras paha bagi mengelakkan komplikasi.
Bapa saudara mangsa, Nadzri Abdullah, 51, berkata, anak saudaranya, Mas Siti Rosnani Rosli, 7, kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).
Menurut beliau, kaki anak saudaranya terpaksa dipotong lselepas berlaku darah beku, yang menyebabkan tisu serta daging pada bahagian tersebut mulai mati.
“Doktor terpaksa memotong kaki kanan sehingga paras paha bagi mengelakkan jangkitan dan komplikasi yang lebih serius,” katanya, seperti dilaporkan Berita Harian.
Jelas Nadzri, abang mangsa, Muhammad Muskir Rosli, 14, pula akan menjalani pembedahan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai, hari ini susulan kecederaan serius yang dialami akibat nahas terbabit.
“Muhammad Muskir mengalami patah tulang femur kanan dan memerlukan pemasangan besi pada bahagian kaki,” katanya.
Beliau berkata dua lagi mangsa, Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9, dan Muhammad Zulhaqif Muhamad Zulkifli, 12, berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di hospital sama.
Nadzri turut meminta orang ramai menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih mengenai keadaan semua mangsa, selain memohon doa orang ramai agar mereka segera sembuh.
Sebelum ini, media melaporkan empat beradik cedera parah selepas motosikal yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke sekolah.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta Honda Jazz yang dipandu seorang guru wanita berusia 39 tahun sedang dalam perjalanan dari Machang ke Kuala Krai, sebelum bertembung dengan motosikal Honda C100 yang dinaiki semua mangsa dari arah bertentangan.
Nahas terbabit dilaporkan berlaku di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu–Kuala Krai berhampiran Kampung Pek, Kota Bharu. - Getaran, 12 Mei 2026




