Nahas pesawat Kapar: Mayat mangsa sudah dikeluarkan

13 Feb 2024 • 8:40 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KAPAR - Mayat kedua-dua mangsa nahas pesawat terhempas di Jalan Benteng Kanan, Kampung Tok Muda, Kapar, Klang sudah dikeluarkan daripada bangkai Gabriel BK160 itu pada jam 8.11 malam ini.

Kedua-dua mayat mangsa kini sedang dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Mangsa dikenalpasti sebagai juruterbang pesawat, Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan pembantu juruterbang, Roshaan Singh Raina, 42.

Kedua-dua ahli kelab penerbangan Air Adventure Flying Club itu sedang melakukan penerbangan rekreasi sebelum pesawat berkenaan terhempas.

image is not available
Trak yang membawa mangsa meninggalkan lokasi kejadian untuk menuju ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. - Azim Rahman/Scoop, 13 Februari, 2024

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kedua-dua mangsa ditemukan dalam pesawat yang terbenam lebih dari dua meter dalam tanah.

“Kedua mangsa akan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat. Selepas itu proses pengecaman akan dilakukan ahli keluarga mangsa.

“Kedua-dua mangsa ditemui dalam kokpit bangkai pesawat pada pukul 2 petang,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan yang dua individu berada di dalam pesawat itu, termasuk seorang juruterbang.

Namun, tiada panggilan kecemasan diterima daripada pesawat ringan Gabriel BK160 itu sebelum ia terhempas, kata CAAM. - 13 Februari, 2024