
KUALA LUMPUR - Pemandu kereta yang menjadi punca kemalangan sehingga mengorbankan dua remaja perempuan di Jalan Padang Tembak, di Teluk Intan semalam didapati positif dadah.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, keputusan tersebut diperoleh menerusi ujian saringan air kencing awal yang dijalankan ke atas lelaki tempatan berusia 28 tahun itu.
Beliau berkata, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan selepas didapati positif benzodiazepine dan memandu di bawah pengaruh bahan terlarang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati nahas berlaku kira-kira jam 6.35 petang, apabila kereta dipandu suspek hilang kawalan ketika cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya.
“Kereta itu kemudian merempuh sebuah motosikal, sebuah lagi kereta di hadapan serta seorang kanak-kanak lelaki yang berada di bahu jalan,” katanya hari ini.
Akibat rempuhan katanya, dua remaja perempuan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemandu kereta berkenaan serta kanak-kanak lelaki yang turut terlibat dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44(1)(a) dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala siasatan berkaitan dadah dijalankan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Kok Lian memberitahu, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Beliau turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan.
“Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Amirrudin Shafiei di talian 013-9126959 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan dua remaja perempuan maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Padang Tembak, petang semalam.
Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Nur Dania Arissa, 17, dan Nur Atikah Abdullah, 16, masing-masing merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Setia dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Muda Musa. - Getaran, 27 Julai 2026





