
KUALA LUMPUR - Bapa kepada mangsa nahas maut di Simpang Renggam menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang menjadi punca tragedi itu.
Sidek Abd Hamid, 42, berkata beliau dan isterinya, Nurul Ain Mohd Rashid, 38, gagal mengawal perasaan apabila mendapat tahu kemalangan tersebut berpunca daripada dua kereta yang sedang berlumba.
Menurut beliau, perasaan marah membuak dalam hatinya, sebaik menonton rakaman video kamera papan pemuka yang kini tular di pelbagai platform media sosial.
“Kehilangan ahli keluarga, terutamanya anak sendiri, sangat menyayat hati.
“Mereka yang bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan tegas supaya perbuatan melulu seperti ini tidak berulang dan menjadi pengajaran kepada orang lain,” katanya.
Selain anaknya, Nur Airish Syifa, Sidek turut kehilangan tiga lagi ahli keluarga dalam nahas ngeri tersebut iaitu bapa saudara Nur Airish Syifa, Mohd Aiman Mohd Rashid, 36; isterinya, Nor Azlina Abd Latif, 33 dan ibu mentuanya, Semek Mat Soh, 73.
Kemalangan sekitar jam 1 tengah hari semalam itu turut mengorbankan pemandu BMW 530e iaitu abang kepada suspek yang kini direman dua hari untuk siasatan lanjut.
Mangsa kelima itu dikatakan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Menurut saksi, kereta Toyota Vios dipandu Mohd Aiman dilanggar BMW 530e berkenaan, yang dikatakan sedang berlumba dengan Mercedes-Benz sebelum hilang kawalan.
Mengulas lanjut Sidek berkata, beliau yakin kereta yang dipandu Allahyarham Mohd Aiman tidak bersalah.
“Saya yakin kerana dia seorang pemandu yang berhati-hati dan tidak pernah memandu laju,” tambahnya.
Laporan awal menyatakan, dua beradik iaitu suspek dan abangnya dipercayai sedang berlumba sebelum BMW dipandu mangsa kelima hilang kawalan lalu merempuh empat buah kenderaan lain. – Getaran, 2 Jun 2026






