
KUALA LUMPUR - Siasatan nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Persiaran Elmina, Khamis lalu adalah tugas hakiki Biro Siasatan Keselamatan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan.
Justeru Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyangkal tuduhan kementerian itu 'menyibuk' dalam siasatan tersebut yang didakwa hanya perlu diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
"Ada pertanyaan daripada mereka yang mendakwa 'pakar-pakar', mengapa siasatan tidak dibuat oleh polis dan Kementerian Dalam Negeri, sebaliknya Kementerian Pengangkutan.
"Ini bukan soal 'menyibuk' tetapi tanggungjawab ke atas nyawa manusia dan keselamatan penerbangan. Ia juga adalah tugas hakiki di bahu BSKU.
"Biro ini melaporkan terus kepada Menteri Pengangkutan dan ia berada dalam struktur yang ditetapkan, CAAM juga tidak terbabit dalam siasatan kerana entiti itu jaga protokol dan standard keselamatan manakala BSKU, bertanggungjawab bila berlaku keselamatan udara," tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Seminar Keselamatan Penerbangan anjuran CAAM pada Selasa.
Sementara itu, Anthony memberi jaminan kerajaan tidak akan mengehadkan peruntukan dalam usaha mendapatkan data terperinci dari CVR ekoran ia termaktub di bawah bidang kuasa BSKU.
“Kita buat keputusan hantar ke Florida selepas makmal di Singapura tidak dapat lagi meneruskan analisa data CVR itu kerana ada kekangan.
“Kos tidak menjadi pertimbangan, memang kerja seperti ini (nahas pesawat) kos dan sebagainya ada peruntukan untuk tujuan itu sebab tanggungjawab dan tugas penting kepada BSKU.
"Apa saja yang boleh dan secepat mungkin kita akan lakukan kerana keutamaan adalah mendapatkan jawapan (nahas) untuk diberitahu kepada keluarga mangsa dan orang awam secepat mungkin,” katanya.
Dalam pada itu Anthony berkata, nahas Elmina memberi pengajaran kepada Malaysia supaya menambah baik fasiliti berkaitan kemalangan pengangkutan udara.
"Apapun insiden ini memberi pengajaran kepada kita, mungkin ada peralatan yang boleh ditambah baik pada masa akan datang,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
