Naib Canselor UniMAP rangkul hadiah utama Anugerah MyPesara, bawa pulang RM50,000 

21 Dec 2023 • 12:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Naib Canselor UniMAP rangkul hadiah utama Anugerah MyPesara, bawa pulang RM50,000

zulfadli

21/12/2023 - 12:39

KUALA LUMPUR 21 Dis - Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin merangkul hadiah utama Anugerah MyPesara sekali gus membawa pulang wang tunai RM50,000 beserta trofi dan sijil penghargaan, baru-baru ini.

Beliau juga memenangi kategori pendidikan menerusi penglibatan aktif dalam agenda pendidikan negara dan negeri Perlis melalui pelbagai organisasi dan agensi secara sukarelawan.

Selain itu, pegawai pendidikan bahagian Bintulu, Dr Loji Roji Saibi memenangi kategori sosial dan khidmat masyarakat yang mana beliau bergiat aktif membantu komuniti setempat dengan menjalankan aktiviti bermanfaat seperti mengadakan kelas al-Quran, mengusahakan ladang nanas dan kawasan perumahan untuk guru-guru melalui pelbagai persatuan dan agensi.

Mohd Hedzir Borhan yang berkhidmat sebagai penolong pengarah Kastam memenangi kategori keusahawanan atas sumbangan beliau dalam membuka peluang kepada komuniti di beberapa negeri untuk menjana pendapatan melalui hasil perniagaan pembekalan kayu beliau.

Pemenang bagi setiap kategori menerima wang tunai sebanyak RM10,000, trofi dan sijil penghargaan setiap seorang, manakala wang tunai RM3,000, trofi dan sijil penghargaan diberikan kepada penerima hadiah saguhati bagi setiap kategori.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, para pemenang Anugerah MyPesara mentakrifkan semula konsep persaraan melalui sumbangan luar biasa mereka.

Katanya, ini kerana mereka masih aktif menyumbang tenaga, kepakaran, ilmu dan pelbagai usaha demi kesejahteraan masyarakat meskipun telah menginjak usia emas dan menempuh alam persaraan.

image is not available
(Dari kiri) Dr Loji Roji Saibi, Mohd Hedzir Borhan, Datuk Mohd Shaiful Ibrahim, Datuk Nik Amlizan Mohamed dan Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin ketika majlis Anugerah MyPesara pada 20 Disember 2023.

"Kami berharap mereka akan menjadi inspirasi kepada orang ramai dalam usaha untuk menggalakkan penuaan aktif dan produktif dalam kalangan pesara dan bakal pesara, sesuai dengan slogan kami - 'Teman Persaraan Anda'," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Terdahulu, Anugerah MyPesara anjuran KWAP merupakan penganugerahan peringkat perdana yang disediakan khas bagi mengiktiraf dan menghargai pesara perkhidmatan awam yang memberi impak positif dalam bidang keusahawanan, pendidikan, sosial dan khidmat masyarakat.

Anugerah itu juga bertujuan untuk memberi galakan kepada pesara dan bakal pesara untuk terus terlibat dan menyumbang secara positif kepada masyarakat sepanjang fasa persaraan mereka.

Dengan mengenal pasti individu-individu cemerlang yang memainkan peranan yang bermakna dalam persaraan mereka, Anugerah MyPesara menjadi sumber inspirasi dan ilham kepada warga pesara dan penganugerahan itu menunjukkan betapa pentingnya untuk kekal aktif dan positif walaupun sudah bersara. - DagangNews.com