Naib Canselor UTM rakyat Malaysia pertama terima Hadiah Mustafa

4 Oct 2023 • 12:33 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available
Ahmad Fauzi dianugerahkan Hadiah Mustafa 2023 di Isfahan, Iran baru-baru ini. Kredit foto: Facebook Universiti Teknologi Malaysia

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Ahmad Fauzi Ismail merupakan rakyat Malaysia pertama dan warga rantau Asia Tenggara kedua dinobatkan sebagai penerima Hadiah Mustafa 2023 di Isfahan, Iran baru-baru ini.

Menurut UTM dalam satu kenyataan, pengiktirafan terhadap Ahmad Fauzi adalah berdasarkan sumbangan besar beliau dalam penyelidikan teknologi membran dan penggunaan yang pelbagai.

Malah, impak kajian beliau juga menjangkau secara global, menerusi janji temu lawatan di institusi berprestij termasuk Imperial College London, Tokyo University dan Kyoto University.

"Peranan pentingnya dalam menubuhkan Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC) di UTM telah meletakkan beliau sebagai tokoh peneraju dalam sains dan teknologi membran seluruh dunia,” ujar kenyataan itu.

Sebelum itu, Hadiah Mustafa merupakan anugerah dwitahunan berprestij bagi meraikan pencapaian luar biasa cendekiawan dan saintis Muslim yang dianjurkan sejak 2015.

image is not available
Hadiah Mustafa


image is not available
Ahmad Fauzi bersama anugerah yang diterimanya sekali gus meletakkan beliau sebaris dengan cendekiawan terkemuka termasuk Profesor Samia J Khoury dari Lebanon dan Profesor Murat Uysal, Turkiye dalam kategori cendekiawan daripada negara Islam.

Ia mengiktiraf saintis Muslim dalam empat kategori iaitu sains dan teknologi informasi dan komunikasi; sains dan teknologi hayat dan perubatan; nanosains dan nanoteknologi; serta semua bidang sains dan teknologi.

Penganugerahan kepada Ahmad Fauzi itu sekali gus meletakkan beliau sebaris dengan cendekiawan terkemuka termasuk Profesor Samia J Khoury dari Lebanon dan Prof esor Murat Uysal, Turkiye dalam kategori cendekiawan daripada negara Islam.

Sementara itu, Ahmad Fauzi menzahirkan penghargaan kepada keluarga, UTM dan pelbagai kementerian di Malaysia yang sentiasa menyokong kerja dan kajian beliau selama ini.

“Penyelidikan adalah satu bidang yang amat diminati dan memberi rasa keterujaan apatah lagi jika menemui sesuatu yang baharu hingga membangkitkan semangat untuk terus melakukan penyelidikan tersebut,” ujarnya.

image is not available

INFO

Antara pencapaian cemerlang Ahmad Fauzi

1) Hadiah Sains The World Academy 2020

2) Anugerah Merdeka bagi Pencapaian Akademik Luar Biasa 2014

3) Inovator IChemE Malaysia 2014

4) Anugerah Bintang Penyelidikan Malaysia oleh Clarivate Analytics yang menggariskan sumbangan prolifiknya kepada akademia dan industri.