Naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi bantah USNO keluar GRS

LocalPolitics
4 May 2026 • 4:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi bantah USNO keluar GRS
Ibrahim ketika ditemui dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Naib Presiden dan majoriti Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) tampil membantah keputusan presiden, Pandikar Amin Mulia, yang mengumumkan pengunduran parti berkenaan daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), baru-baru ini.

Timbalan Presiden USNO, Ibrahim Linggam berkata, tindakan membawa USNO keluar daripada gabungan kerajaan negeri itu didakwa dibuat secara bersendirian tanpa persetujuan majoriti kepimpinan tertinggi parti.

"Bagi kami, keputusan tersebut dibuat secara bersendirian dan tergesa-gesa oleh Presiden dan bukannya sebulat suara oleh AMT.

"Buktinya ialah kehadiran AMT hari ini dengan kepentingan bersama menolak tindakan Presiden yang membelakangkan kepentingan ahli-ahli USNO.

“Tindakan kami hari ini adalah berasaskan Perlembagaan USNO yang sebenar, bukan Perlembagaan USNO 'Pandikar'," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Isnin.

Menurut Ibrahim, kehadiran majoriti AMT bersama 19 daripada 26 ketua bahagian membuktikan majoriti ahli USNO masih mahu parti itu kekal bersama GRS serta terus menyokong kerajaan pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Mengulas status keputusan pengunduran USNO daripada GRS, beliau berkata setakat ini masih belum ada sebarang pengesahan rasmi daripada gabungan itu.

"Setakat ini yang saya tahu, saya sendiri merupakan AMT GRS sebenarnya. Setakat yang kami tahu, belum ada secara rasmi penerimaan itu daripada AMT GRS.

"Bagaimanapun, banyak pemimpin termasuk Ketua Menteri masih menyantuni dan AMT yang lain beranggapan bahawa kita menghormati keputusan yang dibuat oleh Tan Sri Pandikar.

"Namun, soal keluar masuk benda ini hendaklah dibuat dengan sempurna dan AMT GRS sendiri yang akan memutuskan perkara itu," jelasnya.

Beliau turut mendakwa keputusan keluar daripada GRS tidak pernah dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi parti termasuk AMT, Generasi Baru dan Kaum Ibu sebelum diumumkan Presiden.

"Seperti mana yang saya sebutkan dalam kenyataan tadi, sebenarnya keputusan ini hanya dibuat secara bersendirian.

"Tidak ada panggilan di kalangan pimpinan atasan USNO untuk berbincang sama ada di peringkat Ahli Majlis Tertinggi, Ketua Generasi Baru dan juga Ketua Kaum Ibu. Perkara itu sama sekali tidak dibincangkan," katanya.

Dalam masa sama, Ibrahim mendakwa satu notis mesyuarat AMT pada Rabu ini diedarkan dengan agenda penyusunan semula kepimpinan yang disifatkannya sebagai usaha mengambil tindakan terhadap pemimpin yang tidak sehaluan dengan Presiden.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang pemecatan atau tindakan disiplin perlu dibuat mengikut peruntukan perlembagaan parti dan bukannya secara sewenang-wenangnya.

"USNO tegas mahu kekal dalam GRS demi kestabilan dan kemajuan Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor," katanya.