Naico, MAB Engineering jalin kerjasama perkukuh lahir bakat baharu industri aeroangkasa negara

LocalTechnology
10 Oct 2025 • 3:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Naico, MAB Engineering jalin kerjasama perkukuh lahir bakat baharu industri aeroangkasa negara

image is not available

10/10/2025 - 15:37

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 OktNational Aerospace Industry Corporation Malaysia (Naico) dan MAB Engineering Services Sdn Bhd bekerjasama dalam usaha berterusan memacu daya saing sektor aeroangkasa negara.


Jalinan strategik tersebut dimeterai kedua-dua pihak menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersempena dengan Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor 2025 (SAS 2025), di ibu negara hari ini.


Naico menambah, langkah itu juga sebahagian inisiatif Malaysia Aerospace Centre of Excellence (MyAERO Centre) ditubuhkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menerusi program Iltizam Usaha Insan.


"Matlamat utama kerjasama ini demi pemerkasaan pembangunan bakat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) negara sejajar keperluan industri aeroangkasa global," katanya dalam kenyataan.


Secara am, Naico yang ditubuhkan pada 2015, merupakan agensi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam menyokong pelaksanaan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) 2030.


Majlis pemeteraian MoU bersejarah tersebut disempurnakan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif NAICO Malaysia, Ts Shamsul Kamar Abu Samah dan Ketua Pegawai Operasi MAB Engineering, Eke Nazri Rahim.


Antara fokus utama kerjasama ini termasuk pembangunan kemahiran digital dan kecerdasan buatan (AI) untuk jurutera serta juruteknik MRO, selari dengan tuntutan masa depan industri penerbangan dunia.


“Kami membina kecemerlangan sedia ada mencapai piawaian global,” kata Shamsul sambil menyifatkan kolaborasi ini sebagai usaha menyambung legasi kecemerlangan MRO Malaysia ke peringkat yang tinggi.


Sementara itu menurut Eke Nazri, kerjasama ini membolehkan pelaksanaan dasar digariskan MITI dan NAICO dalam bentuk latihan teknikal canggih, inovasi digital dan pembangunan kecekapan berterusan.


Langkah kerjasama tersebut juga demi memperkukuh Malaysia sebagai pusat MRO serantau yang berdaya saing menerusi inisiatif MyAERO Centre berlandaskan dasar pembangunan jangka panjang kerajaan.


Usaha berkenaan juga jelas beliau, adalah selari dengan matlamat digariskan menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) serta MAIB 2030 yang ditadbir oleh pihak MITI sendiri.


"MAB Engineering, sebagai cabang MRO milik penuh Malaysia Aviation Group (MAG), sedia berkongsi dengan memiliki lebih 21 pensijilan antarabangsa dan kemudahan teknologi hangar pintar," katanya.


Kedua-dua pihak turut berharap MoU itu menjadikan penanda aras kebangsaan dalam perkhidmatan penyelenggaraan pesawat untuk membina ekosistem aeroangkasa Malaysia. - DagangNews.com

standard