Naico perkukuh aspirasi aeroangkasa negara menerusi kerjasama dengan Boeing

LocalSpace
16 Jul 2025 • 6:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Naico perkukuh aspirasi aeroangkasa negara menerusi kerjasama dengan Boeing

image is not available

16/07/2025 - 18:18

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Liew Chin Tong (tengah) merasmikan pejabat Boeing baharu di ibu negara. Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Julai - Perbadanan Industri Aeroangkasa Nasional (Naico) terus mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab aeroangkasa utama ASEAN seperti yang dibuktikan menerusi peranannya dalam pelancaran pejabat Boeing baharu di ibu negara, hari ini.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Liew Chin Tong berkata, pelancaran pejabat baharu itu menandakan komitmen Boeing terhadap ekosistem aeroangkasa Malaysia, hubungan yang telah terjalin sejak lebih 70 tahun lalu bermula dengan penghantaran pesawat Douglas DC-3 pada 1947.

Beliau berkata, kehadiran Boeing di Malaysia kini melangkaui sekadar penjualan pesawat, dengan kemudahan pengeluaran milik penuhnya, Boeing Composites Malaysia (BCM) di Kedah, yang menggaji hampir 1,000 rakyat Malaysia dan menghasilkan komponen komposit untuk program pesawat utama seperti 737, 767, 777 dan 787.

Katanya, Naico sebagai agensi pelaksana di bawah MITI yang bertanggungjawab mempercepat transformasi sektor aeroangkasa negara.

Chin Tong berkata, menerusi Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), sektor aeroangkasa telah dikenal pasti sebagai sektor keutamaan untuk memacu inovasi, memperdalam kerumitan ekonomi, dan mencapai matlamat sifar bersih karbon negara.

Beliau berkata, Pusat Kecemerlangan Aeroangkasa Malaysia (MyAERO Centre) di bawah Naico berperanan sebagai platform nasional yang penting untuk menyelaraskan usaha kerajaan, pemain industri, dan institusi akademik. Dengan memupuk kerjasama dan inovasi, NAICO secara aktif menyokong pengembangan rantaian bekalan tempatan, pembangunan bakat, serta integrasi amalan mampan dalam industri.

“Boeing merupakan antara rakan strategik kami. Pelaburan berterusan mereka di Malaysia, termasuk pengumuman terbaru oleh Malaysia Aviation Group (MAG) untuk membeli sehingga 60 pesawat Boeing 737 MAX 8, membuka peluang baharu untuk pertumbuhan bersama — dari kejuruteraan dan pembuatan hingga ke peningkatan kemahiran bakat dan kepimpinan dalam kelestarian," katanya ketika berucap merasmikan pejabat Boeing baharu, hari ini.

Chin Tong berkata, MITI mengulangi sokongannya terhadap kerjasama berimpak tinggi seperti ini, yang dianggap penting untuk menyemarakkan sektor aeroangkasa dan memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam rantaian nilai global.

Katanya, kerjasama Naico dengan agensi seperti MIDA dan MATRADE telah membantu mengukuhkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan aeroangkasa serantau, dengan asas industri yang kukuh, kedudukan geografi yang strategik, dan dasar yang menyokong. - DagangNews.com

standard