Naik bot awal pagi, 13 PATI Myanmar diberkas di sempadan Jeli

1 Jun 2026 • 12:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Naik bot awal pagi, 13 PATI Myanmar diberkas di sempadan Jeli
Cubaan 13 warga Myanmar termasuk dua kanak-kanak memasuki negara ini melalui laluan tidak sah di kawasan sempadan di Jeli bagi mencari pekerjaan di Lembah Klang tidak kesampaian apabila mereka dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Taring Wawasan pada Ahad.Foto:PGA

JELI – Cubaan 13 warga Myanmar termasuk dua kanak-kanak memasuki negara ini melalui laluan tidak sah di kawasan sempadan di sini bagi mencari pekerjaan di Lembah Klang tidak kesampaian apabila mereka dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Taring Wawasan pada Ahad.

Kesemua mereka yang terdiri daripada tiga lelaki, lapan wanita serta dua kanak-kanak berusia antara tiga hingga 35 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Kampung Wakaf Zin, Ayer Lanas kira-kira jam 7.10 malam.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, tangkapan dilakukan hasil risikan dan maklumat yang diterima berhubung pergerakan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, sepasukan anggota Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan dengan bantuan Cawangan Risik Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli bertindak ke lokasi sebelum menemui kumpulan terbabit dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota bertindak menghampiri kumpulan berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis sebelum meminta mereka mengemukakan dokumen pengenalan diri.

"Bagaimanapun, kesemua individu terbabit gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Ahmad Radzi memberitahu, hasil siasatan awal mendapati kesemua mereka mengaku memasuki Malaysia melalui pangkalan haram di kawasan Wakaf Zin, Ayer Lanas dengan menaiki bot pada awal pagi hari yang sama.

Menurut beliau, mereka juga mengaku menggunakan khidmat seorang ejen warga Myanmar dikenali sebagai "Turwia" dengan bayaran RM3,500 bagi setiap individu untuk membawa masuk mereka ke negara ini.

"Siasatan turut mendapati kesemua mereka merancang untuk menuju ke sekitar Lembah Klang bagi bekerja sebagai pekerja am dan kilang," katanya.

Ujar beliau, kesemua tangkapan dibawa ke IPD Jeli untuk tindakan lanjut sebelum PATI lelaki ditempatkan di lokap IPD Jeli manakala wanita dan kanak-kanak ditahan di lokap Balai Polis Kuala Balah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara tanpa dokumen perjalanan yang sah.