Naik gaji, elaun jururawat sahaja tidak cukup

LocalHealth & Fitness
13 Oct 2026 • 7:17 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Naik gaji, elaun jururawat sahaja tidak cukup

PETALING JAYA: Kenaikan gaji dan elaun semata-mata tidak mencukupi untuk menangani penghijrahan jururawat Malaysia ke luar negara.

Masalah itu berisiko terus berlarutan sekiranya tiada usaha menyeluruh bagi me­ngurangkan beban tugas, me­ngatasi kekurangan tenaga kerja serta menyediakan peluang kemajuan kerjaya.

Presiden Kesatuan Jururawat Malaya (MNU), Noor Aini Abu Hashim berkata, keputusan jururawat untuk bekerja di luar negara bukan hanya didorong oleh faktor pendapatan, sebaliknya turut melibatkan persekitaran kerja, peluang pembangunan kerjaya dan kualiti hidup.

Menurutnya, tawaran gaji dan pakej ganjaran lebih kompetitif di sesetengah negara menjadi antara tarikan utama, selain beban tugas tinggi serta nisbah jururawat kepada pesa­kit yang tidak seimbang di tempat kerja.

“Keadaan ini berisiko menyebabkan keletihan fizikal dan emosi, sekali gus menjejaskan keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan.

“Oleh itu, usaha menangani penghijrahan jururawat perlu melihat isu ini secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada pemberian elaun atau kenaikan gaji semata-mata,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM), beliau berkata, MNU me­nyambut baik tawaran jawatan tetap kepada jururawat baharu, penambahbaikan gaji menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) serta kenaikan Bayaran Insentif Pos Basik daripada RM100 kepada RM200 sebulan.

Bagaimanapun, katanya, keberkesanan langkah tersebut bergantung kepada pelaksanaan yang konsisten dan kemampuan memenuhi keperluan sebenar jururawat, termasuk menangani isu kekurangan tenaga kerja serta peluang kenaikan pangkat.

“Bagi menarik jururawat yang sedang bekerja di luar negara untuk kembali ke Malaysia, kerajaan perlu mempertimbangkan pakej pengekalan dan kepulangan bakat yang lebih menyeluruh.

“Ini termasuk peluang kerjaya yang jelas, pengiktirafan pe­ngalaman kerja luar negara, penempatan bersesuaian de­ngan kepakaran serta persekitaran kerja yang kondusif,” katanya.

Sehubungan itu, Noor Aini berkata, MNU turut mencadang­kan supaya pengisian kekoso­ngan jawatan dipercepatkan, struktur gaji dan elaun dikaji secara berkala serta peluang pembangunan profesional diperluaskan.

Katanya, pengambilan gra­duan kejururawatan tempatan juga perlu dipercepatkan bagi mengurangkan beban tugas jururawat sedia ada dan memastikan kualiti penjagaan serta keselamatan pesakit terus terpelihara.

“Matlamat kita bukan sekadar menghalang jururawat daripada berhijrah, tetapi memastikan profesion kejururawatan di Malaysia terus dihargai, diperkasakan dan mampu menarik serta mengekalkan tenaga kerja yang berkualiti demi kepentingan pesakit dan sistem kesihatan negara,” katanya. – UTUSAN

The post Naik gaji, elaun jururawat sahaja tidak cukup appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved