
SHAH ALAM, 17 MEI: Kerajaan Selangor menyalurkan dana sejumlah RM1.2 juta melalui Skim Bantuan Kewangan Lima Agama Selangor (LIMAS) untuk kemudahan rumah ibadat bukan Islam seluruh negeri tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agama bukan Islam Selangor Ng Sze Han berkata dana disalurkan kepada tokong, gereja, kuil dan vihara bagi tujuan baik pulih, selenggara serta tambah baik kemudahan keagamaan.
“LIMAS adalah sebahagian daripada komitmen pentadbiran untuk memastikan setiap komuniti di Selangor diberikan ruang dan peluang yang adil dalam pembangunan negeri.
“Kerajaan Negeri juga akan terus menyokong pembangunan sosial dan program kebajikan yang mampu menyemai nilai-nilai murni dalam masyarakat demi membina negeri yang aman, bersatu dan penuh dengan kasih sayang,” katanya.
Berucap pada Sambutan Hari Wesak peringkat negeri, Sze Han menambah Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam menyokong pertumbuhan semua agama dan budaya menerusi dasar inklusif yang diamalkan sejak 2008.
“Selangor telah memulakan satu inisiatif penting pada 2009 iaitu peruntukan tahunan secara sistematik kepada rumah ibadat bukan Islam.
“Saya ingin menegaskan bahawa komitmen kami terhadap sokongan kepada rumah ibadat bukan Islam akan diteruskan,” ujarnya lagi.
Kerajaan Negeri memperuntukkan RM6 juta bagi menyokong rumah ibadat bukan Islam di Selangor, termasuk RM3.6 juta untuk rumah ibadat Buddha dan Tao, RM1.7 juta untuk Hindu, dan sejumlah lain untuk Kristian dan Sikh.

The post Naik taraf kemudahan rumah ibadat bukan Islam, negeri salur dana RM1.2 juta appeared first on Selangorkini.


