Naik taraf Masjid Putera Jaya demi keselesaan jemaah

4 Mar 2026 • 11:47 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Masjid Putera Jaya, Setiu yang bakal dinaik taraf. Gambar kecil: Romeli

SETIU – Pihak pengurusan Masjid Putera Jaya di sini merancang pelaksanaan projek naik taraf dan pembangunan menyeluruh bernilai RM13.8 juta bagi memenuhi keperluan jemaah yang semakin bertambah di Bandar Permaisuri serta kawasan sekitarnya.

Pengerusi Masjid Putera Jaya, Romeli Ismail berkata, projek berkenaan membabitkan penambahbaikan fizikal masjid berusia 35 tahun itu termasuk penggantian sistem pendawaian elektrik lama selaras dengan saranan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Keperluan menaik taraf masjid ini dilihat semakin mendesak berikutan pertambahan jemaah terutama ketika solat Jumaat, Ramadan dan program keagamaan.

“Ruang sedia ada agak terhad dan tidak lagi mampu menampung kehadiran dalam jumlah besar dengan selesa,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, antara cadangan utama ialah penambahan ruang solat, pembinaan dewan tertutup, bangunan koperasi dan pejabat pengurusan serta penyediaan kemudahan parkir yang lebih teratur.

“Masjid bukan sekadar tempat menunaikan solat, tetapi pusat penyatuan ummah.

“Dengan kemudahan yang lebih baik, kita dapat melaksanakan lebih banyak aktiviti seperti kelas pengajian, kuliah agama, program belia dan kebajikan masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata, pihak masjid turut memberi perhatian kepada aspek infrastruktur seperti sistem kumbahan, kerja elektrik, saliran di sekeliling kawasan dan pagar keselamatan bagi memastikan persekitaran lebih terjamin serta selesa.

Tambah Romeli, perancangan pembangunan itu kini dalam proses perbincangan lanjut bersama agensi teknikal berkaitan sebelum dilaksanakan mengikut prosedur dan kelulusan yang ditetapkan.

“Kami berharap segala urusan dipermudahkan demi manfaat jangka panjang kepada masyarakat setempat.

“Paling penting, masjid ini terus berperanan sebagai institusi yang memakmurkan kehidupan rohani dan sosial penduduk,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun bank Agrobank 2006363000001532 atau menghubungi Romeli di talian 019-934 3608.