
BEAUFORT: Kerajaan Persekutuan diharap dapat menaikkan elaun bulanan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Sabah agar selari dengan elaun JPKK di negeri-negeri di Semenanjung.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam, berkata ia perlu memandangkan elaun yang diterima JPKK di negeri ini jauh lebih rendah berbanding elaun JPKK di Semenanjung.
“Selain elaun JPKK yang lebih rendah di Sabah berbanding di Semenanjung, kenaikan elaun ini wajar untuk selari dengan peredaran masa dan keperluan serta beban tugas yang digalas.
“Pada masa sama, jika diluluskan (kenaikan elaun JPKK), ia akan selari dengan kenaikan elaun pemimpin masyarakat akar umbi yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, baru-baru ini.
SPONSORED CONTENT Daily Express members: Enjoy 1 for 1 signature cocktails and more at Hyatt Centric Kota Kinabalu Kota Kinabalu: DAILY EXPRESS is partnering with Hyatt Centric Kota Kinabalu to offer an exclusive deal for our members. Read more “Justeru, kerajaan persekutuan melalui agensi bertanggungjawab diharap dapat merealisasikan kenaikan elaun JPKK di Sabah bagi merapatkan jurang perbezaan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pertandingan Sepak Takraw Pra kelayakan Sukan Sabah (Saga) Zon Pedalaman, di sini, Isnin lalu. Elaun JPKK di Semenanjung berbeza mengikut negeri dengan Selangor menjadi negeri yang menyediakan elaun tertinggi iaitu RM1,500, diikuti Johor, RM1,200 manakala elaun bulanan JPKK di Sabah adalah RM500.
Ahad lalu, Hajiji mengumumkan kenaikan purata 48 peratus elaun pemimpin masyarakat akar umbi bermula September depan melibatkan seramai 3,963 ketua adat di Sabah.
Langkah itu memberi manfaat kepada 57 Ketua Daerah, 272 Ketua Anak Negeri, 648 Wakil Ketua Anak Negeri, 2,810 Ketua Kampung dan juga 176 Kapitan di seluruh Sabah.
Ruslan yang juga wakil rakyat Lumadan turut yakin kerajaan negeri juga berat mengambil isu berkenaan dan akan mengambil langkah-langkah yang wajar untuk membantu JPKK di negeri ini.
Katanya, ia susulan pertumbuhan ekonomi Sabah yang semakin meningkat hasil pentadbiran mapan Hajiji di bawah agenda Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Di pihak kami di peringkat kerajaan negeri juga telah melihat perkara ini dan saya yakin langkah-langkah wajar akan diambil untuk membantu JPKK ini susulan ekonomi Sabah yang semakin meningkat,” katanya.
Terdahulu, Ruslan turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Persatuan Sepak Takraw Daerah Beaufort termasuk sumbangan kecil kepada empat enam pasukan yang terlibat dalam pertandingan itu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


