'Najib bakal jalani prosedur buang plak berhampiran salur darah, mohon semua doakan' - Rosmah

LocalPolitics
19 Jul 2026 • 7:56 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Najib bakal jalani prosedur buang plak berhampiran salur darah, mohon semua doakan' - Rosmah
Hantaran Rosmah di Facebook prosedur perubatan yang bakal dijalani Najib. - Foto: Facebook Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual menjalani satu prosedur perubatan bagi membuang plak yang dikesan berhampiran saluran darah, kata isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Rosmah berkata, keluarga mereka amat menghargai keprihatinan serta doa yang dizahirkan oleh sahabat handai, rakan-rakan dan para penyokong Najib susulan keadaan kesihatannya.

Dalam hantaran di Facebook pada Sabtu, beliau turut memohon orang ramai agar terus mendoakan supaya segala urusan serta prosedur perubatan yang bakal dijalani Najib dipermudahkan dan berjalan lancar.

"Saya amat menghargai keprihatinan yang ditunjukkan oleh sahabat handai, rakan-rakan serta penyokong beliau.

"Dalam saat ini, saya memohon agar semua terus mendoakan semoga segala urusan dan prosedur yang bakal dijalani beliau dipermudahkan, berjalan dengan lancar dan beliau dikurniakan kesihatan serta kekuatan," katanya.

Rosmah pada masa sama merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menghubungi keluarga mereka, bertanya khabar serta menyampaikan doa dan kata-kata semangat buat Najib.

"Terima kasih atas ingatan, kasih sayang dan doa yang tidak pernah putus. Semoga ALLAH SWT melindungi beliau dan mengurniakan yang terbaik," katanya lagi.

Pada Khamis lalu, Najib dilaporkan mengalami masalah jantung dan dijadual menjalani prosedur berkaitan pada minggu depan.

Najib, 73 tahun, kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah dalam kes melibatkan SRC International.

Pada Februari 2024, Lembaga Pengampunan memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara beliau daripada 12 tahun kepada enam tahun, selain mengurangkan jumlah denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Pada April lalu, Najib menarik balik permohonan untuk menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah. - Awani

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved