Najib masuk hospital akibat jangkitan paru-paru

Politics
21 Mar 2023 • 11:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Najib Tun Razak. - Foto: Bernama

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak beberapa hari lalu dipercayai selepas mengalami jangkitan pada paru-paru.

Menurut laporan MalaysiaGazette, sumber mendedahkan, mantan Ahli Parlimen Pekan itu pada mulanya dimasukkan ke hospital selepas mengidap influenza.

“Pemeriksaan lanjut mendapati beliau menghidapi jangkitan paru-paru selain perlu menjalani beberapa prosedur rawatan.

“Yang tahu hanya keluarga terdekat namun saya tidak pasti bagaimana media boleh tahu tentang perkara ini. Kita harap semoga semuanya dipermudahkan untuk Datuk Seri,” katanya.

Sumber berkenaan turut memaklumkan Najib menjalani prosedur rawatan di HKL sama seperti banduan lain yang tertakluk di bawah Akta Penjara 2000.

Selain itu, sumber juga enggan mendedahkan dengan lebih terperinci tentang perkara itu namun difahamkan Najib kini sudah kembali ke penjara selepas menjalani rawatan susulan.

Sebelum ini Najib pernah dimasukkan ke hospital kerana mengalami ulser kronik tahun lalu.

Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapinya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.